PASIR SALAK – Sokongan daripada 70 profesor Melayu dikenali G70 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bukan suara penentu kepada kemenangan Presiden PKR itu Sabtu ini.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, pilihan kumpulan itu juga sama sekali tidak mewakili keseluruhan pengundi di negara ini.
“Kalau ada 7,000 profesor yang sokong Anwar pun tiada masalah kerana pengundi di Malaysia ini jumlahnya lebih 21 juta orang.
“Apalah sangat 70 orang itu jika mahu dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pengundi. Angka 70 itu langsung tidak mewakili mahupun melambangkan pengundi pada PRU15 (Pilihan Raya Ke-15),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Manifesto Parlimen Pasir Salak di Command Centre BN di sini semalam.
Khairul Azwan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata demikian ketika mengulas sokongan kumpulan itu kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Menurut kumpulan berkenaan, sokongan kepada calon kerusi Parlimen Tambun itu berdasarkan kredibiliti dan prestasinya yang cemerlang selain satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk.
Bahkan, kumpulan itu juga mendakwa PH merupakan pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi masa kini.
Bagaimanapun, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan menafikan sebarang pembabitan pihaknya dengan penganjuran sidang akhbar khas Deklarasi Profesor Melayu G70.
KPT dalam kenyataannya berkata, kumpulan itu bukan representasi rasmi kakitangan akademik atau profesor daripada institusi pengajian tinggi (IPT). – KOSMO! ONLINE