JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan sejumlah 43 bas ekspres untuk membawa seramai 1,600 penuntut pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkata, kemudahan itu disediakan secara dua fasa iaitu 35 bas malam ini dan selebihnya lapan bas, esok pagi.
Menurut beliau, kesemua penuntut hanya perlu membayar kos antara RM20 hingga RM50 mengikut lokasi kampung halaman masing-masing.
“Secara keseluruhan terdapat 43 bas yang digunakan, di mana sebahagiannya adalah bas milik UTM manakala selebihnya bas ekspres komersil yang disewa.
“Usaha ini dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di mana mereka mengumpul nama-nama penuntut yang mahu menggunakan perkhidmatan ini dan pihak UTM juga tidak mengambil sebarang keuntungan.
“Sebaliknya, usaha itu adalah bagi membantu penuntut-penuntut pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada 19 November ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian pergerakan itu, di sini hari ini.
Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan, Atiqah Alias, 21, memberitahu, pihaknya berterima kasih dengan perkhidmatan yang disediakan kerana ia memudahkan urusan pulang ke kampung.
“Inisiatif ini juga menjimatkan perbelanjaannya penuntut kerana kebiasaannya harga tiket bas untuk pulang ke Pulau Pinang dalam RM75, manakala kapal terbang pula dalam RM150.
“Sebagai seorang penuntut, kos berkenaan agak membebankan, jadi apabila ada inisiatif seperti ini dengan harga tiket bas sebanyak RM35, ia amat membantu,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Teknologi UTM, Sim Yee Xuan, 18, berasal dari Alor Setar, Kedah pula, dia gembira dengan inisiatif disediakan universiti awam berkenaan.
“Saya rasa gembira kerana UTM ada inisiatif seperti ini, sebab apabila lihat jualan tiket bas secara atas talian banyak yang sudah habis. Jika ada sekalipun harganya mahal kerana menjadi rebutan.
“Biasanya untuk balik ke Alor Setar, harga tiket bas adalah RM70, tapi melalui inisiatif ini saya hanya membayar RM45 sahaja. Jadi adalah lebihan dan saya juga dapat berjimat,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik. – KOSMO! ONLINE