BERA – Seramai 160 pelajar tingkatan enam di Parlimen Bera menerima peranti siswa bagi membolehkan golongan itu tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program pengagihan Peranti Siswa Keluarga Malaysia itu merupakan satu bukti kerajaan sentiasa menjaga kepentingan rakyat terutamanya daripada golongan B40 dan mereka yang tinggal di luar bandar, khususnya pelajar.
“Kerajaan menyediakan 40,000 unit peranti siswa kepada pelajar, hari ini tablet atau peranti siswa amat penting dalam kehidupan terutamanya yang melibatkan kepentingan pelajar.
“Sebab itulah kita tidak mahu masyarakat luar bandar khususnya kumpulan B40 ini ketinggalan dari arus kemajuan teknologi digital,” katanya ketika berucap pada program pengagihan peranti siswa Keluarga Malaysia dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, di sini, hari ini.
Bercakap mengenai era digitalisasi, Ismail Sabri berkata, ia seharusnya dilengkapi dengan capaian internet yang meluas kerana tanpa capaian internet, peranti siswa yang diberikan secara percuma itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Jelasnya, di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM), program Jaringan Digital Negara (Jendela) telah diperkenalkan yang memberi keutamaan dalam menaiktaraf menara telekomunikasi kepada 5G.
“Di Bera, sebanyak 95 peratus kawasan telah menerima capaian internet dengan baik. Kita pastikan tahun depan dapat capai 100 peratus.
“Ini kerana bukan sahaja pembelajaran dilakukan secara digital pada masa kini, malah aktiviti-aktiviti lain termasuk aktiviti perniagaan di kampung-kampung atas talian juga semakin popular. Asalkan capaian internet baik, semuanya akan menjadi lancar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE