KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membincangkan tentang jajaran baharu yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu nanti.
Calon PH bagi Kerusi Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, desas- desus mengenai pembentukan jajaran baharu itu hanya mainan politik semata-mata dan berita mengenainya tidak perlu dilayan dan diendahkan.
“Secara jujurnya bagi kami di PH, masing-masing (calon) dan pemimpin tidak sempat untuk adakan mesyuarat kerana kami sibuk dengan aktiviti di bahagian masing-masing.
“Apa pun kami dari PH akan berusaha dan bekerja dalam PRU ini untuk memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan sendiri tanpa bergantung kepada parti-parti lain,” jelasnya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambah Ahmad Fahmi, jika melihat kepada laporan berita sebelum ini juga antaranya berkenaan dengan kenyataan Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Kita boleh lihat di sini, dengan kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) itu juga bercanggah dan tidak sependapat.
“Setiausaha kata akan bergabung dengan PN akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN), manakala presidennya pula kata tidak akan bersama dengan UMNO, jadi mana satu yang betul?” soalnya.
Katanya, mesej yang disampaikan oleh semua kepimpinan semua parti yang bertanding dilihat tidak sama dan semuanya bercanggah.
“Jawapan perbincangan kepimpinan semua parti dilihat bercanggah, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah bekerja kuat dan dapatkan majoriti dengan mudah,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE