fbpx

Glamping santai di Pantai Puteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG boleh merasai pengalaman bermalam di dalam khemah yang luas dan selesa di Baruh Glamping, Pantai Puteri, Melaka.

TREND glamping semakin menjadi pilihan ramai terutamanya mereka yang sukakan percutian sambil ditemani suasana alam semula jadi mendamaikan.

Berbanding camping atau aktiviti perkhemahan, glamping yang berasal daripada perkataan glamour camping lebih menyeronokkan.

Ini kerana, glamping lazimnya tidak memerlukan pengunjung membawa sendiri peralatan atau kelengkapan perkhemahan, selain menawarkan tempat tidur dan bilik air lebih selesa.

Sebuah lokasi menarik yang terletak di selatan tanah air kini menjadi ‘port’ glamping popular kerana menawarkan pemandangan pantai memukau.

Baruh Glamping yang terletak berhadapan Pantai Puteri, Melaka menjadi lokasi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat aktiviti perkhemahan.

Menurut pengurus Baruh Glamping, Anis Hartini Haron, 41, lokasi percutian itu menawarkan pengalaman glamping sambil melihat suasana pantai yang mendamaikan.

“Baruh Glamping ini dibuka pada 2021 dengan menawarkan konsep bermalam di kawasan pantai.

“Lokasi ini menawarkan pengalaman percutian menarik dan selesa, khususnya buat mereka yang datang dalam kumpulan besar.

“Kami menawarkan pelbagai jenis khemah daripada bulan madu untuk dua orang sehinggalah khemah keluarga yang mampu memuatkan sehingga lima orang pada satu-satu masa,” katanya.

Deretan khemah putih yang dihias penuh selesa menjadi tarikan di Baruh Glamping.

Bagi pengunjung yang datang bersama anak kecil, mereka boleh memilih khemah jenis playful yang lengkap dengan pendingin hawa dan mainan.

BEGINILAH panorama malam di sekitar Baruh Glamping.

Memandangkan lokasi glamping itu terletak di kawasan pantai, Anis Hartini berkata, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dinikmati pengunjung.

“Antara aktiviti yang disediakan termasuk menonton pertunjukan api dan filem di kawasan pantri terbuka serta berkhemah di tepi unggun api.

“Pengunjung juga boleh mengambil pakej barbeku atau ‘steamboat’ di tepi pantai dengan harga berpatutan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pantri terbuka di premis itu merupakan antara ruangan paling digemari pengunjung kerana ia dibuka selama 24 jam sehari.

Ujarnya, orang ramai boleh melakukan pelbagai aktiviti di situ seperti bersantai sambil menikmati kopi panas dan memasak.

Tambah Anis Hartini lagi, selain menyajikan pemandangan laut, kawasan percutian tersebut turut menawarkan aktiviti seperti memancing, menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), bermain congkak dan mandi di laut.

“Kami banyak menerima respons yang memberangsangkan dalam kalangan penggemar aktiviti ini, khususnya warga emas.

“Ada antara mereka yang terkejut kerana sebelum ini menganggap aktiviti glamping bermaksud pengunjung perlu bermalam di dalam hutan.

“Bagaimanapun, selepas melihat lokasi ini yang selesa, rata-rata daripada pengunjung memaklumkan, mereka berminat untuk datang kembali ke sini,” ujarnya.

Untuk makluman, harga penginapan bagi satu unit khemah di Baruh Glamping bermula pada RM380 sehingga RM480 semalam.

Maklumat lanjut mengenai Baruh Glamping boleh didapati menerusi laman web malaysiacamping.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI