fbpx

Buang sikap suka menghukum orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MARLIA ZAKARIA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini, penulis bersama rakan setugas Alwani Zafira dan jurugambar, Shiddiqin Zon me­nelusuri lorong-lorong gelap Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur menjejak kehidupan malam penuh rahsia.

Lokasi tersebut ternyata kekal menjadi kontroversi kerana masih ada yang menjalankan ke­giatan hitam, tetapi bezanya cuma ‘siapa’ yang menakluki kawasan itu.

Apa yang menarik perhatian, komuniti yang pernah penulis jejaki beberapa tahun lepas masih lagi wujud di lokasi sama iaitu golongan pelacur warga emas.

Namun, hasil risikan mendapati, hanya sebilangan kecil sahaja golongan tersebut yang tinggal iaitu kira-kira 30 orang. Kecil berbanding sebelumnya, tetapi masih menjadi masalah sosial yang perlu diberi perhatian semua pihak walaupun jika seorang sahaja jumlahnya.

Kisah mereka kami telah kongsikan seperti yang dilaporkan di muka depan Kosmo! baru-baru ini. Seperti dijangka, ia telah mendapat reaksi yang pelbagai.

Apa yang menggores hati adalah komen-komen netizen yang sebahagiannya membuatkan penulis terkilan dengan kedangkalan pemikiran mereka.

Bukan sahaja memperlekeh­kan golongan ini, malah ada yang meninggalkan komen berunsur lucah yang semestinya tidak enak dibaca dan dilihat. Belum lagi dengan komen golongan ‘terpaling syurga’.

Usah terlalu cepat menghukum kerana melalui maklumat diperoleh, golongan ini hakikatnya sangat rajin bekerja dan lebih menghargai setiap bantuan yang pernah atau cuba diberi.

Malah, ada juga yang berkeinginan untuk pulang ke pangkal jalan sebelum mata tertutup di akhir usia. Namun pilihan yang mereka ada tidak banyak.

Jadi, jika tidak membantu, jangan menyusahkan lagi de­ngan komen-komen negatif yang langsung tidak menyumbang apa pun untuk mengubah kehidupan mereka.

Pakar psikiatri yang juga bekas Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, masyarakat kini cepat menghukum tanpa memberi peluang kepada golongan bermasalah untuk berubah.

“Tiada siapa yang memilih untuk jadi pelacur atau penagih kalau ada pilihan lain. Perkara yang kita tidak sedar, apabila sesuatu aktiviti telah dilakukan terlalu lama, ia menjadi satu habit dan pilihan untuk keluar daripada­nya adalah terhad.

“Ini belum apa-apa, masyarakat dah labelkan macam-macam dan beri tanggapan tanpa cuba memahami terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Alaminda Healthcare Berhad berkata, paling penting adalah kesedaran yang datang daripada diri mereka sendiri setelah se­kian lama bergelumang dengan ­titik hitam.

“Jangan pandang diri kita le­bih baik untuk pastikan mereka kena dengar nasihat kita.

“Yang terbaik, dengar terlebih dahulu apa masalah dan ambil tahu apa yang mereka perlukan,” katanya.

Tambahnya, apabila sampai tahap mereka sendiri ingin berubah, pihak bertanggungjawab perlu memandangnya sebagai peluang yang perlu diambil tindakan segera.

Usaha tersebut juga perlu dilakukan berterusan tanpa agenda tertentu, sekali gus dapat mencegah masalah ini menular ke generasi seterusnya.

“Untuk bantu mereka kembali memerlukan kemahiran dan mereka perlu dibantu dengan program komprehensif.

“Usaha perlu berterusan bukan one off dan dilakukan bersama-sama, bukan satu pihak sahaja,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI