TIDAK lengkap kiranya bercuti di Pulau Langkawi, Kedah tanpa menikmati keenakan masakan autentik Negeri Sembilan yang dihidangkan dengan konsep ala carte.
Justeru, tidak hairanlah Restoran Cili Kampung (Cili Kampung) cukup popular dalam kalangan pelancong tempatan serta luar negara.
Restoran yang terletak di Kampung Bohor Darat Mukim Kedawang, Langkawi itu diusahakan oleh sepasang suami isteri iaitu Kamarul Ariffin dan Rusliza Yahya sejak tahun 2017.
Menurut Kamarul atau lebih dikenali sebagai Along, suatu ketika dahulu, mereka sekeluarga kerap bercuti di Pulau Langkawi.
Katanya, kesukaran mendapatkan makanan Negeri Sembilan telah mencetuskan idea kepada mereka untuk membuka restoran tersebut.
“Saya dan isteri yakin yang masakan Melayu terutama dari Negeri sembilan mempunyai potensi sangat besar untuk diusahakan.
“Malah, ia menjadi hasrat terbesar kami untuk memartabatkan masakan tradisional Melayu ini kepada dunia luar.
“Jadi, kami mengambil keputusan membuka restoran ini dengan menampilkan hidangan autentik dan mempunyai kelas tersendiri bagi mengubah pemikiran lapuk mengenai masakan Melayu,” cerita anak kelahiran Beranang, Selangor itu.
Along memang dibesarkan dengan masakan Negeri Sembilan, manakala isterinya berasal dari Kuala Pilah telah menggabungkan resipi keluarga masing-masing untuk menawarkan seleksi menu menarik di Cili Kampung.
Setakat ini, terdapat sekitar 15 menu ditawarkan di restoran itu.
Antara hidangan signatur di situ adalah aneka masakan lemak cili padi seperti udang, ikan, daging salai dan ayam.
Bukan itu sahaja, terung goreng belacan, udang masak lemak tempoyak, asam pedas daging tetel, udang sambal petai, masak lemak siput sedut batang keladi serta pelbagai jenis masakan kicap turut menjadi kegemaran para pelanggan.
“Sesuai dengan konsep masakan kampung panas ala carte, hidangan dimasak panas-panas dan kami menggunakan bahan-bahan segar sahaja.
“Selain itu, lauk-pauk di sini dimasak mengikut musim. Jadi, kami akan menukar menu di sini mengikut bahan-bahan yang ada pada ketika itu,” terang anak sulung daripada enam adik-beradik itu.
Tambah Along, pihaknya menetapkan bahawa setiap satu hidangan yang dipesan boleh dimakan untuk empat orang dengan harga bermula RM28 hingga RM85 mengikut jenis lauk dan menu.
Jelasnya, restoran tersebut bukan sahaja disukai oleh orang tempatan, malah pelancong dari luar negara juga teruja untuk mencuba juadah masakan Melayu ditawarkan di situ.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan makanan tempatan kepada orang luar.
Restoran itu boleh menampung sekitar 85 orang pada satu-satu masa dan waktu menunggu pula tidak terlalu lama kerana pesanan akan diambil sebaik pelanggan tiba.
Cili Kampung beroperasi pada dua waktu iaitu pukul 11 pagi hingga 3 petang dan 6 petang hingga 9 malam, manakala tutup pada hari Selasa.
Secara keseluruhannya, Cili Kampung beroperasi di empat lokasi iaitu Cili Kampung Kedawang dan Cili Kampung Cenang Hill terletak di Langkawi.
Lokasi di Kuala Lumpur pula adalah Cili Kampung Hartamas dan restoran terbaharu diberi nama Lado Podeh di Bukit Jalil.
Cawangan di Cenang Hill hanya memberi fokus kepada sarapan pagi dan menu utama seperti nasi lemak bersama lauk-pauk panas seperti paru sambal, udang sambal, ayam sambal dan sotong sambal.
Para pelanggan juga ditawarkan sarapan berupa lontong dan lempeng.