TINGGAL dua hari lagi, lebih 21 juta rakyat Malaysia bakal menjalankan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini bagi menentukan pemimpin yang bakal memerintah negara untuk lima tahun akan datang.
Masa yang masih berbaki ini pastinya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh calon-calon yang bertanding bagi merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri-negeri yang turut membubarkan DUN masing-masing baru-baru ini.
Mereka kini berada pada gear lima dalam kempen melalui pelbagai medium termasuk media sosial untuk meraih kepercayaan pengundi.
Ini terutamanya anak muda yang baru pertama kali merasai kehangatan suasana pilihan raya yang selama ini mereka tidak ambil peduli.
Kebanyakan anak muda ini bolehlah dianggap sebagai pengundi atas pagar dan memerlukan panduan daripada mereka yang sudah berpengalaman dalam memilih kepimpinan negara.
Oleh sebab pengundi berumur antara 18 hingga 21 tahun yang berjumlah 1.2 juta orang ini tidak boleh diambil ringan, terdapat calon-calon yang menggunakan aplikasi TikTok dalam tempoh terakhir kempen ini untuk menarik minat mereka mendekati politik.
Ini secara tidak langsung dapat memberikan motivasi dan perangsang untuk mereka keluar menunaikan tanggungjawab mengundi sebagai warganegara yang ingin melihat negara yang lebih berdaya maju dan progresif pada masa depan.
Biarpun pelbagai janji ditabur ketika berkempen bagi menarik perhatian ramai, namun pengundi diminta menggunakan akal fikiran yang sihat bagi memilih calon yang boleh membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi demi kehidupan lebih bermakna.
Jangan hanya terpesona dengan kata-kata dan janji manis yang belum pasti ditunaikan, kerana apa yang penting, kitab boleh lihat kesungguhan calon untuk membawa perubahan diterjemahkan pada gerak kerja dilakukan sebelum PRU berlangsung lagi.
Usah tersalah pilih calon yang hanya pandai bercakap tentang itu dan ini, tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan ke arah kehidupan rakyat yang lebih baik sewaktu menjawat jawatan sebelum ini.
Jadikan PRU14 pada 2018 sebagai panduan terbaik agar kita tidak menyesal untuk tempoh lima tahun lagi.
Dalam hal ini, usah dengar rayuan mesra yang menggoda jiwa daripada mereka yang menjanjikan bulan dan bintang, sedangkan ia tidak berpijak di bumi nyata.
Bulatkan tekad dan pilihlah calon yang benar-benar dapat membawa kesejahteraan hidup rakyat dan bukannya calon bidan terjun. -KOSMO! ONLINE