TERAMAT rindu! Itulah yang terzahir oleh diva muzik seberang, Ruth Sahanaya tatkala berkesempatan bertemu peminat di Malaysia menerusi konsert solonya, Fabulous Friday Ruth Sahanaya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Jumaat lalu.
Masakan tidak, kali terakhir bintang berasal dari Bandung, Indonesia itu berpentas di Kuala Lumpur (KL) adalah sekitar empat tahun lalu.
Lantas, peluang mengadakan konsert solo di DFP digunakan sehabis baik penyanyi legenda itu demi meleraikan kerinduan terdalam.
Bertaraf legenda, tidak sukar untuk Ruth membawa seluruh isi dewan larut bernostalgia bersamanya.
Tepat pukul 8.30 malam, penyanyi berusia 56 tahun itu melangkah ke pentas dengan persalinan serba keemasan. Anggun sekali.
Dengan gaya dan solekan indah, Ruth tampak lebih muda berbanding usianya. Saat penyanyi yang juga ibu dua orang anak itu melontarkan vokalnya, semua mata dan jiwa tertancap kepadanya.
Untaian lagu seperti Memori, Merenda Kasih, Astaga, Andaikan Kau Datang dan Bersama Dirimu mengembalikan jiwa muda peminat setianya.
Ruth turut mendendangkan lagu ‘berhantunya’ Kaulah Segalanya yang dinanti-nanti peminat.
Emosi ramai tersentuh lagi saat Ruth menitiskan air mata ketika mendendangkan lagu Thankful.
“Saya teringatkan mama (ibunya). Lagu ini bercerita tentang terima kasih. Apa yang saya miliki hari ini adalah berkat didikan orang tua, terutama ibu,” katanya yang ditemui selepas konsert berakhir.
Dalam durasi dua jam, Ruth turut menyanyikan lagu dendangan empat diva popular Indonesia dan Malaysia yang juga rakan baiknya iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Datuk Sheila Majid dan Krisdayanti.
“Setiap konsert saya ada konsep. Sebelum ini, dalam konsert di KL, saya pernah menyanyikan lagu popular penyanyi lelaki Indonesia seperti Afgan, Cakra Khan, Glenn Fredley dan Marcell,” katanya.
Kualiti
Melihat ada penyanyi seangkatannya mula memperlahankan rentak karier, namun Ruth kekal lincah dengan persembahan hebat, persoalan sebegitu diusulkan kepadanya.
Bagaimana pada usia hampir 60, dia masih kekal hebat? Jawab Ruth, dia tidak pernah berhenti berlatih meskipun pada usia sekarang.
“Tiada sebarang rahsia, hanya latihan. Itu yang membantu juga perlu banyak berehat,” getusnya.
Sambung Ruth, meskipun susunan muzik dan lagunya tidak begitu banyak berubah berbanding konsert empat tahun yang lalu, tetapi cabaran terbesar adalah untuk mengingati perubahan itu.
“Pada usia ini saya mudah lupa,” katanya yang bangga menjayakan konsert di DFP buat kali kedua.
Dengan lambakan konsert penyanyi Indonesia di Malaysia juga, Ruth bersyukur dengan sokongan ramai terhadapnya.
“Saya senang sekali dapat kembali mengadakan persembahan di sini selepas sekian lama dengan pandemik, semua orang merasakan kesukaran itu.
“Jadi, sekarang adalah masa untuk meraikannya. Walaupun banyak konsert berlangsung di KL, saya amat bersyukur ada peminat yang sudi meluangkan masa ke persembahan saya,” katanya.
Selesai di Malaysia, Ruth juga berharap dapat mengadakan sebuah konsert solo di Indonesia selepas kali terakhir persembahan solo pada 2019.
“Menjadi impian saya untuk mengadakan sebuah konsert besar di negara sendiri selepas ini,” tutup Ruth.