KEMAMAN – Sepasang suami isteri tetap sabar menanti berita anaknya yang dikhuatiri lemas berhampiran Pantai Marina di sini sejak enam hari lalu.
Shahrulzaman Saparuddin, 51, berkata, dia dan isterinya, Haslina Yusoff, 48, bukan sahaja setia menunggu di tepi pantai menanti kepulangan Mohamad Aiman Asyraf, 11, malah mereka juga sudah lima malam berkhemah dan tidur di pantai berkenaan.
“Kami harap sangat adik (Muhammad Aiman) balik dengan selamat namun kami juga reda sekiranya yang hanya pulang sekadar sekujur jasad.
“Biarpun sudah tidak bernyawa, biarlah ada pusaranya. Berat rasanya hati untuk terima kalau dia berkubur di laut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Marina di sini hari ini.
Beberapa ahli keluarga turut dilihat sering membaca surah Yasin dan berdoa di sekitar pesisir pantai.
Shahrulzaman berkata, dia turut melakukan solat hajat memohon kepada Allah agar pencarian anak ketujuh daripada lapan adik beradik itu dipermudahkan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang pada Jumaat lalu, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Chukai tersebut dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di alur sungai Kuala Kemaman berhampiran Pantai Marina di sini bersama dua rakannya berusia 12 dan 9 tahun. – KOSMO! ONLINE