fbpx

PRU15: Zainal Azman terima pencalonan PKR sebagai Menteri Besar Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal Azman (kiri) ketika mengunjungi Jeti Nelayan Kuala Sepetang, Taiping hari ini.

TAIPING – Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang, Datuk Zainal Azman Abu Seman mengakui beliau adalah antara nama yang dicadangkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai calon Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, kenyataan Rafizi Ramli pada 3 November lalu berkenaan pencalonannya sebagai Menteri Besar Perak dibuat atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Jika benar itu keputusan PKR (pencalonannya sebagai Menteri Besar) dan mendapat persetujuan parti-parti komponen PH, selain saya memenangi kerusi DUN Kuala Sepetang dan PH berjaya membentuk kerajaan di Perak, saya menerimanya dengan penuh tanggungjawab.

“Apapun, fokus utama saya ketika ini adalah untuk memenangi DUN Kuala Sepetang terlebih dahulu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal Azman berkata, kenyataan Rafizi tersebut berkemungkinan dibuat di atas pengalamannya berkhidmat sebagai penjawat awam, antaranya bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Justeru, beliau menyarankan pengundi di Perak agar memberi sokongan penuh kepada PH agar parti itu dapat menubuhkan kerajaan dengan memenangi lebih daripada 31 kerusi DUN.

Pada masa sama, beliau percaya PH bakal membentuk kerajaan di Perak memandangkan calon-calon ditampilkan parti itu mempunyai kredibiliti serta berintegriti tinggi.

“Calon-calon PH bukan sahaja mempunyai personaliti yang baik dan berwibawa bahkan telah diamanahkan untuk menjaga kepentingan selain memberi keutamaan kepada rakyat berbanding diri masing-masing,” katanya.

Pada PRU15, Zainal Azman bakal merebut kerusi DUN Kuala Sepetang dengan penyandangnya, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar daripada Barisan Nasional (BN), Ahmad Man (Perikatan Nasional) dan Norhaliza’awayati Meman (Gerakan Tanah Air). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI