fbpx

Sindiket seleweng diesel bersubsidi diserbu KPDNHEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan serbuan KPDNHEP memeriksa kandungan sebuah tangki menyimpan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Seremban, Negeri Sembilan 10 November lalu. - Foto IHSAN KPDNHEP

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Seremban, Negeri Sembilan pada 10 November lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, serbuan turut berjaya merampas 40,000 liter minyak diesel, lori, mesin pemampat, dokumen perniagaan dan beberapa peralatan lain yang dianggarkan berjumlah RM323,000.

“Tiga lelaki tempatan yang sedang memindahkan minyak diesel dari tangki simpanan ke sebuah lori tangki di premis berkenaan sewaktu serbuan dilakukan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan.

Azman berkata, pihaknya memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala, kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI