fbpx

‘Dengar sendiri rintihan nelayan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian ahli Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Pulau Pinang yang menggesa pihak NGO dan ahli-ahli politik berhenti mempolitikkan projek PSI di George Town semalam.

GEORGE TOWN – Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Pulau Pinang menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli politik agar berhenti daripada mempolitikkan projek tambakan laut selatan (PSI) di Permatang Damar Laut dekat sini yang bakal membawa pembangunan kepada nelayan tempatan.

Setiausahanya, Fajinah Jaafar berkata, semua pihak terutamanya calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepatutnya membuat kajian terperinci dan mendengar rintihan nelayan yang bergantung kepada laut untuk mencari rezeki.

“Jangan percayakan tuntutan pihak-pihak yang mempunyai agenda peribadi tanpa memahami isu-isu sebenar di sini.

“Lebih-lebih lagi mereka yang bukan nelayan sepenuh masa di mana mereka hanya melabuhkan sampan di kuala sungai sejak beberapa tahun ini, malah ada di antaranya yang tidak mempunyai sampan sama sekali,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Projek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Sebelum ini, Persatuan ­Nela­yan Pulau Pinang (PenMutiara) men­dakwa, kira-kira 6,000 ahli persatuan itu membantah projek PSI kerana didakwa menjejaskan ekosistem lautan di kawasan tersebut.

Menurut Fajinah, adalah tidak adil untuk menganggap kenya­taan pihak yang tidak menyokong projek PSI sebagai representasi seluruh masyarakat nelayan.

“Hakikatnya, individu-individu yang terlibat ini bukan terdiri daripada mereka yang bergantung kepada pekerjaan nelayan sebagai mata pencarian utama,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri telah beberapa kali menjelaskan langkah-langkah mitigasi yang sedang dan bakal dijalankan untuk me­ngurangkan impak penambakan laut.

“Pada bulan Oktober 2021, kami telah berjaya memperoleh tanda tangan daripada 1,521 penduduk kawasan Selatan Pulau Pinang termasuk 435 orang nelayan yang menyatakan sokongan mereka untuk merealisasikan projek ini.

“Kami menghormati panda­ngan mereka yang membantah projek PSI, namun kami berharap pihak pembangkang turut menghormati dan memberi ruang kepada kami yang menyokong projek tersebut,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI