MANCHESTER – Manchester United dilaporkan sedang mencari jalan untuk menyingkirkan Cristiano Ronaldo selepas sesi temu bual kontroversi bersama Piers Morgan sebelum ini.
Difahamkan, pasukan perundangan kelab tersebut sedang membuat kajian sama ada dakwaan pemain tersebut bahawa dia berasa dikhianati oleh kelab dan hilang rasa hormat terhadap pengurus, Erik Ten Hag adalah suatu yang melanggar kontrak.
United sedang menunggu program berkenaan disiarkan sepenuhnya dan akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci.
“Manchester United mengambil perhatian mengenai apa yang disiarkan oleh media mengenai sesi temu bual melibatkan Cristiano Ronaldo. Kelab ini akan memberikan respons selepas seluruh temu bual itu disiarkan.
“Fokus utama kelab ini masih kepada persiapan untuk separuh kedua musim dan meneruskan momentum selain kepercayaan serta kebersamaan antara pemain, pengurus, kakitangan dan para peminat,” kata kenyataan dikeluarkan oleh United.
Antara pilihan yang boleh diambil oleh United adalah memutuskan kontrak Ronaldo dan membenarkannya meninggalkan Old Trafford sebagai ejen bebas.
Sumber juga memberitahu, ejen Ronaldo, Jorge Mendes dikatakan sedang mencari kelab baharu dan dilaporkan sudah mengadakan rundingan bersama beberapa pegawai dari kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich di London minggu lalu. – AGENSI