fbpx

K2

Didik generasi muda terlibat aktiviti sukarela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVITI kesukarelawanan mampu mengukuhkan perasaan saling mempercayai dalam sesebuah kawasan kejiranan. – Gambar hiasan

DALAM istilah mudah, kesukarelawan bermaksud melakukan sesuatu perkara secara sukarela tanpa mengharap sebarang balasan.

Aktiviti kesukarelawan dilihat sebagai salah satu cara mudah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kebajikan manusia yang mengejut atau berpanjangan.

Rakyat Malaysia sememangnya telah berkecimpung dalam aktiviti murni ini sejak dahulu lagi.

Ringkasnya, penglibatan dalam aktiviti kesukarelawan secara formal mahupun tidak bukanlah satu perkara yang baru di negara kita.

Badan-badan kesukarelawan telah ditubuhkan untuk membantu kebajikan kumpulan tertentu seperti ibu tunggal, pesakit kronik atau haiwan seperti kucing dan anjing liar.

Dalam konteks kesukarelawan yang lebih kecil, wujud individu perseorangan yang bergerak bersama-sama rakan atau ahli keluarga untuk melakukan aktiviti murni ini.

Misalnya, menyediakan makanan kepada rumah-rumah kebajikan atau membeli keperluan harian untuk golongan kurang berkemampuan.

Semasa negara menghadapi serangan Covid-19 pada akhir tahun 2019, kita menyaksikan seluruh negara mengalami kesusahan susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Keadaan ini telah membawa kepada banyak isu dalam bidang pekerjaan. Terdapat individu yang dihadkan waktu bekerja, malah ramai diberhentikan kerja.

Keadaan berkenaan bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan keluarga, malah membawa kesan emosi negatif kepada ibu bapa dan anak-anak.

Pada waktu itu, kita dapat lihat pelbagai bantuan diberikan oleh pihak kerajaan untuk membantu meringankan beban keluarga.

Apa yang lebih manis pada saat kritikal berkenaan telah lahir kumpulan individu-individu yang turut memberikan bantuan kepada keluarga terjejas dengan mengumpulkan wang derma untuk membeli barang keperluan harian.

Pada saat-saat berkenaan, kita sering dihidangkan dengan berita-berita sukarelawan sama ada daripada badan kerajaan, bukan badan kerajaan mahupun persendirian yang tampil memberikan bantuan kepada semua termasuk para frontliners.

Pada waktu itu, nilai kesukarelawan daripada aktiviti saling membantu menjadi salah satu perkara penting ketika negara dilanda pandemik yang mengerikan.

Namun, setelah pemimpin negara mula memberikan ruang-ruang bekerja untuk menjana pendapatan, bagaimana dengan nilai dan semangat para sukarelawan berkenaan?

Adakah masih ada atau mulai pudar kerana sektor-sektor pekerjaan telah dibuka?

Seharusnya nilai kesukarelawan berkenaan perlu berada dalam momentum yang konsisten tanpa mengira situasi.

Skop kesukarelawan seharusnya menjadi lebih besar dengan tidak tertumpu kepada penglibatan golongan tertentu melalui usaha persendirian.

Ia juga tidak seharusnya bermula pada fasa dewasa apabila seseorang individu itu telah mempunyai kemampuan kewangan atau fizikal.

Sewajarnya, penglibatan dalam aktiviti kesukarelawan ini perlu dipupuk sejak usia kanak-kanak lagi.

Ini kerana, untuk sesuatu tindakan menjadi kekal, ia perlu bermula dengan perkara-perkara yang kecil dan mudah.

Dalam erti kata mudah, nilai kesukarelawan mesti dipupuk melalui lapisan demi lapisan dalam fasa kehidupan manusia.

PENGLIBATAN dalam aktiviti kesukarelawanan perlu dipupuk sejak usia kanak-kanak lagi. – Gambar hiasan

Lapisan pertama adalah lapisan yang paling hampir dengan individu iaitu keluarga.

Maka, penerapan penglibatan dalam aktiviti yang bersifat sukarelawan boleh dimulakan dengan kerja-kerja di rumah.

Misalnya, menawarkan diri mencuci peralatan memasak dan pinggan mangkuk selepas digunakan atau mengemas kawasan luar rumah agar tampak lebih kemas.

Sudah semestinya, peranan ibu bapa adalah penting bagi memupuk nilai kesukarelawan dalam kalangan ahli keluarga.

Belakang parang lagikan diasah menjadi tajam, inikan pula manusia.

Pepatah lama ini boleh dikaitkan dengan peranan ibu bapa dalam menggilap nilai kesukarelawan anak-anak.

Ibu bapa pula perlu mengukuhkan lagi nilai-nilai kesukarelawan melalui pengukuhan positif dengan kata-kata pujian.

Dari segi manfaat, penglibatan ahli keluarga melakukan aktiviti kesukarelawan dalam skop kerja rumah dilihat boleh membantu mendapatkan suasana lebih selesa dan bersih serta mewujudkan nilai bekerjasama.

Setelah nilai kesukarelawan dalam konteks keluarga menjadi kukuh, ia boleh dikembangkan kepada lapisan kejiranan dan komuniti setempat.

Secara tidak langsung, nilai saling menyayangi jiran tetangga dan rasa kepunyaan (belongingness) terhadap kawasan kejiranan dapat disemai.

Antara manfaat hasil daripada aktiviti kesukarelawan ini dalam jangka panjang adalah pengukuhan perasaan saling mempercayai dalam kawasan kejiranan.

Akhir sekali, penglibatan secara sukarela boleh dilakukan kepada fasa yang lebih luas iaitu masyarakat umum atau kumpulan bersasar dengan jaringan bantuan lebih meluas.

Bagi fasa ini, ia boleh dilakukan melalui penglibatan dalam badan-badan kerajaan, bukan kerajaan atau persendirian bagi memberi bantuan kepada golongan tertentu.

Penglibatan secara formal sebagai sukarelawan boleh dilakukan di rumah-rumah anak yatim, warga emas atau orang kelainan upaya.

Bagi skop yang lebih luas ini, nilai dan aktiviti kesukarelawan perlu disesuaikan dengan situasi terkini.

Memandangkan negara masih berada dalam keadaan berjaga-jaga disebabkan Covid-19, maka kita perlu menjadi lebih kreatif dalam aktiviti sukarelawan.

Ringkasnya, golongan muda mampu dibentuk menjadi generasi celik sukarelawan yang boleh membawa imej positif kepada negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI