fbpx

Jeff mahu kongsi bakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEFF mahu berkongsi bakatnya bersama penggemar muzik tanah air.

KEHADIRAN penyanyi dengan nama pentas Jeff dalam mewarnai persada industri muzik tanah air bukan sekadar suka-suka.

Walaupun sedar waktunya untuk membuat kemunculan dan mengukir nama di pentas seni hiburan sebagai penyanyi agak lewat, namun perkara itu bukanlah suatu penghalang baginya untuk mengejar cita-cita bergelar seorang penyanyi.

Berbekalkan pengalaman dalam bidang muzik sejak 30 tahun lalu, Jeff atau nama lengkapnya Jeff Abdullah, 47, membulatkan hati untuk memperkenalkan namanya sebagai seorang pendatang baharu.

Menurut penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak itu, dia tidak malu atau kekok untuk bergelar seorang penyanyi baharu walaupun telah berusia lebih 40-an kerana menganggap umur hanyalah sekadar angka sahaja.

Bahkan, Jeff menganggap keberadaannya dalam industri sebagai penyanyi umpama takdir yang telah tertulis dan mengambil peluang yang diberikan kepadanya untuk berkongsi bakat yang dimiliki dalam bidang nyanyian.

“Usia bukanlah penghalang untuk saya mengejar impian. Saya berada di sini (industri) untuk berkongsi bakat yang ada. Saya percaya dengan bakat mampu membawa saya pergi jauh,” katanya.

Rezeki

Jelas Jeff, dia bukan tidak pernah mencuba untuk bergelar seorang penyanyi profesional sejak berusia muda, namun rezeki belum lagi berpihak kepadanya ketika itu.

“Saya yakin orang akan mempertikaikan usia saya. Kenapa pada usia 47 tahun baru sahaja hendak ‘timbul’ memperkenalkan diri? Kenapa tidak dari dulu lagi?

“Sebenarnya saya bukannya tidak pernah mencuba. Saya pernah menghadiri pelbagai uji bakat program realiti popular seperti Akademi Fantasia (AF) dan Malaysian Idol, namun belum ada rezeki lagi.

“Lagi pula saya terikat dengan kerja tetap. Jadi saya tidak boleh memberi tumpuan pada komitmen nyanyian,” ujarnya.

Namun begitu, hasratnya untuk bergelar penyanyi dan memiliki lagu sendiri tidak pernah terpadam. Bahkan Jeff juga pernah merancang untuk mengeluarkan sebuah single sulungnya pada 2020, namun tertangguh ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Daun Semalu

Selepas keadaan kembali terkawal, kini Jeff mampu tersenyum gembira apabila hasratnya untuk melancarkan single pertamanya berhasil menerusi lagu berjudul Daun Semalu.

Dengan lahirnya single Daun Semalu, Jeff turut meletakkan satu harapan besar supaya pendengar dapat menerima dan memberi sokongan terhadap karyanya.

“Saya percaya pada satu perkara. Jika kita berbakat, orang pasti akan menghargainya tanpa mengambil kira faktor lain (usia).

Begitu juga apabila ada yang beranggapan, tiada rupa dan pakej, susah untuk kita mendapat perhatian. Bagi saya, seseorang itu akan menyinar kerana bakat yang dimilikinya.

“Namun, orang ramai sendirilah yang perlu memberi peluang dan ruang untuk orang-orang seperti saya buktikan kemampuan untuk serlahkan bakat yang ada,” ujarnya.

JEFF tidak malu untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi lain yang lebih muda kerana yakin dengan kemampuan diri sendiri.

Jeff yang ditemui pada majlis Sidang Media Daun Semalu di Damai Hall@KLCC baru-baru ini bagaimanapun tetap akur tentang persoalan orang ramai tentang persaingan yang perlu dia tempuhi bersama penyanyi muda atau digelar Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU).

Namun ujar Jeff, Masing-masing mempunyai kelebihan dan cara tersendiri untuk diterima peminat dalam industri.

Mempertaruhkan Daun Semalu dengan genre balada rock yang popular ketika era muzik tahun 1990-an, Jeff yakin lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer, Wafi itu mampu menarik minat pendengar-pendengar muda.

“Tidak ramai, bahkan mungkin tidak ada penyanyi muda yang membawakan genre begini. Jadi, saya pasang strategi untuk membawakan lagu seperti ini. Lagi pun, jika dilihat, semakin banyak lagu lama dikembalikan menerusi platform TikTok.

“Trend itu sudah ada dan saya percaya, muzik ini mempunyai kelompok pendengar yang tersendiri. Disebabkan itu, saya hadir dengan lagu ini kerana ia masa yang sesuai untuk memperkenalkannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI