AMPANG – Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas anak perempuannya berusia 16 tahun menggunakan paip Polyvinyl Chloride (PVC) September lalu.
Bagaimanapun tertuduh Amin Husaini Tan Abdullah, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak perempuanya berusia 16 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Ampang Jaya, pukul 6 petang pada 9 September lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai setahun atau dengan denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, ketika kejadian tertuduh memukul anaknya itu dengan menggunakan paip PVC.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Zulhasnan mencadangkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin.
Namun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak mewakili tertuduh memohon jaminan rendah.
“Tertuduh mempunyai 10 orang anak dan dia tidak bekerja atas faktor usia serta kesihatan, wang jaminan RM8,000 yang ditawarkan pendakwaan adalah tinggi, oleh itu tertuduh memohon jaminan rendah,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Majistret Normaizan membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember ini untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE.