fbpx

AS, China tolak Perang Dingin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biden (kanan) dan Jinping (kiri) berjabat tangan ketika bertemu di luar acara sidang G2O di Nusa Dua, Pulau Bali, kelmarin. – AFP

JAKARTA – Amerika Syarikat (AS) meredakan ketegangan hubungan dengan China kelmarin apabila Presiden Joe Biden menegaskan bahawa Washington dan Beijing tidak akan melaksanakan Perang Dingin ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu di luar sidang kemuncak negara Kumpulan 20 (G20) di Pulau Bali, Indonesia.

Menurut agensi berita United Press International, Biden dan Jinping bertemu selama lebih tiga jam kelmarin, kali pertama mereka bersemuka sejak Biden mengambil alih pentadbiran di White House.

“Beliau berterus terang dengan saya, sama seperti sebelum ini. Saya berpendapat kami saling memahami.

“Saya amat percaya bahawa tidak perlu berlakunya Perang Dingin (antara AS dan China). Kedua-dua kami jelas mengenai semua isu dibangkitkan,” kata Biden dalam satu sidang akhbar.

Beliau dan Jinping dilaporkan berbincang mengenai Taiwan, ujian peluru berpandu Korea Utara serta pencerobohan Russia ke atas Ukraine sepanjang mesyuarat itu.

“Saya tidak fikir terdapat sebarang percubaan dari pihak Beijing untuk menyerang Taiwan.

“Saya juga sudah jelaskan supaya isu merentasi selat itu dapat diselesaikan agar serangan (China) tidak perlu berlaku,” tegas Biden.

Selepas berjabat tangan, Biden memberitahu Jinping bahawa beliau teruja untuk mencari jalan bagi bekerjasama dalam isu-isu global yang mendesak.

Jinping dalam masa sama berharap Biden dapat berkongsi pandangan mendalam mengenai isu-isu strategik yang penting dalam hubungan Beijing-Washington serta beberapa ‘isu serantau dan global’.

“Kami akan bersaing secara serius, namun saya enggan memulakan konflik. Saya berharap persaingan antara AS dan Beijing dapat berlangsung dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.

Dalam pada itu, beberapa penganalisis melihat pertemuan antara Biden dan Jinping sebagai langkah permulaan bagi mengurangkan ketegangan antara Beijing dengan Washington.

“Biden memberi mesej yang jelas dan pihak Jinping pula menerimanya dengan positif. Ia menunjukkan minat kedua-dua pihak untuk memperbaiki hubungan,” kata Pengarah Program China di Stimson Center, Yun Sun.

Namun, di sebalik harapan untuk mengelakkan senario terburuk dan pertembungan pendapat antara kedua-dua negara, Yun Sun berkata, dua kuasa besar dunia itu mempunyai pandangan berbeza mengenai maksud hubungan lebih stabil terutamanya isu berkaitan Taiwan.

“Sekiranya kita mahu sidang kemuncak ini menyelamatkan hubungan (AS-China) dan membawanya ke satu tahap lebih baik, saya berpendapat kita perlu melihat lebih banyak tindakan kukuh diambil,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI