KUALA LUMPUR- Kemudahan prasarana selesa dan kaedah sistematik disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pusat Mengundi Awal disifatkan sebagai satu penambahbaikan terbaik berbanding edisi sebelumnya, sekali gus memberi lebih keselesaan kepada pengundi.
Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sistem diperkenalkan SPR untuk pengundi awal merupakan satu penambahbaikan baharu berikutan menyediakan kemudahan selesa termasuk dilengkapi pendingin hawa.
“Sebelum ini, ada tempat pengundian awal panas dan tiada pendingin hawa, tetapi untuk Pusat Mengundi Awal ini, saya tengok susunan lebih baik di mana disediakan tempat duduk teratur, ada surau serta dilengkapi tandas.
“Keadaannya sangat berbeza dengan apa yang dilihat sebelum ini. Tahniah kepada SPR kerana ini satu pembaharuan yang mereka buat dan banyak lagi penambahbaikan akan dibuat pada masa depan,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Awal di Rejimen 515 Askar Wataniah, Jalan Buku Lima di sini tadi.
Katanya, perubahan dilaksanakan SPR juga begitu meyakinkan seterusnya menterjemahkan keupayaan suruhanjaya itu membuat pembaharuan yang terbaik untuk keselesaan pengundi.
Terdahulu, Johari meluangkan masa kira-kira 30 minit di Rejimen 515 Askar Wataniah bagi meninjau proses pengundian awal yang berlangsung seawal pukul 8 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE.