PETALING JAYA – Bukan merajuk atau jauh hati, Ezad Lazim menegaskan ketiadaannya dalam konsert Exists pada hujung minggu ini disebabkan sudah terikat dengan komitmen Showcase Jiwa & Lagu Ezad Lazim di Pulau Langkawi, Kedah.
Katanya, persembahan solo di Aseania Resort & Spa yang diadakan seminggu selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) iaitu 25 dan 26 November ini dibawakan secara eksklusif yang membuatkannya perlu memberi keutamaan untuk acara tersebut.
“Siapa kata merajuk? Mereka ajak sertai konsert tersebut, tetapi saya terlebih dulu ikat kontrak dengan New Dimension Sdn. Bhd. selaku penganjur acara di Pulau Langkawi.
“Ada juga saya tanyakan andai boleh tukar tarikh memandangkan konsert seperti reunion Exists selepas di Stadium Malawati beberapa tahun lalu memang kami semua tunggu-tunggu.
“Tapi tidak mengapa, ini semua berbalik kepada rezeki. Insya-Allah kalau diizinkan siapa tahu kami dapat berkongsi pentas sekali lagi dalam skala lebih besar. Apa pun kami saling menyokong,” jelasnya.
Buat masa ini, penyanyi itu mahu memberi fokus terhadap konsert mini tersebut yang berlangsung selama dua malam dengan menjanjikan rangkaian lagu malar segar Exists selain dendangan solo.
Pada masa sama pemilik nama penuh Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim, 42, itu memaklumkan sebanyak 16 lagu akan melatari persembahan band AANTU bawah pimpinan penyanyi dan komposer, Adzrin Azhar.
Penyanyi lagu Pujaan Malaya dan Pencuri Hati itu juga akan menyerikan persembahan pembukaan selain berpadu suara dengan Ezad.
Katanya, antara seleksi hit yang berada dalam senarai adalah Demi Cinta, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Dirantai Digelangi Rindu.
Biarpun mengakui sedikit gusar memandangkan konsert berkenaan berlangsung seminggu selepas PRU15, Ezad tetap optimis dengan sambutan khalayak.
“Selain penduduk Langkawi serta mereka yang datang dari Kedah, Perlis atau Pulau Pinang, saya harap pelancong luar yang kebetulan berkunjung ke situ dapat sama-sama memeriahkan acara.
“Ini adalah kemunculan solo pertama saya di situ, sekali gus menyuntik semangat untuk memberikan yang terbaik sebagai memori indah kepada penonton,” ujarnya.
Ezad juga yakin dengan sambutan hadirin memandangkan ada peminat tegar dari Singapura yang sanggup ‘terbang’ ke Langkawi demi menyaksikan persembahannya.
“Itu sudah cukup membuatkan saya berbesar hati. Persembahan nanti lebih santai, lebih istimewa ada banyak hadiah menarik termasuk telefon bimbit ditawarkan bagi acara cabutan bertuah,” katanya lagi.
Tiket Mini Konsert Jiwa & Lagu Ezad Lazim berharga RM279 (Gold), RM229 (Silver), RM199 (Bronze) dan RM179 (Standard).
Sehingga kini, sebanyak 50 peratus tiket telah terjual dan masih boleh ditempah melalui talian 011-7027 0028 atau menerusi laman web http://onlineticket.vip.
Pihak Aseania turut menawarkan diskaun sebanyak 60 peratus ke atas harga tempahan bilik untuk peminat yang mahu menyaksikan konsert itu, selain diskaun 50 peratus bagi pakej jelajah pulau. – KOSMO! ONLINE