Pix RASUL AZLI SAMAD
MELAKA – Meskipun lumpuh separuh badan seorang anggota wanita tetap melunaskan tanggungjawabnya membuat pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pagi ini.
Koperal Siti Nor Maslinda Nordin yang berkerusi roda dilihat selesai membuat undi kira-kira pukul 8.25 pagi dengan bantuan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ditanya mengenai keadaan dirinya, Siti Nur Maslinda, 43, memberitahu, dia menjadi lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan pada 2009 ketika pulang dari bertugas di Balai Parit, Bandar Seri Iskandar, Perak.
“Kejadian itu berlaku pada 13 tahun lalu apabila saya terbabas ketika memandu pulang ke rumah selepas selesai bertugas sebagai petugas am di balai berkenaan.
“Kejadian berlaku mungkin disebabkan saya terlalu penat kerana hari sebelumnya terlibat dalam sukan bola jaring dianjurkan kontinjen Perak,”katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Kata ibu tiga anak itu, kejadian hitam tersebut bagaimanapun tidak melunturkan semangat dirinya untuk terus berkhidmat dan sehingga kini beliau berbakti selama 24 tahun.
“Saya baru pindah ke sini pada 2020 dan bertugas di bawah Jabatan Pengurusan bahagian pelesenan di IPK Melaka,” katanya. – KOSMO! ONLINE.