Dalam masa empat hari lagi, seramai 21,173,638 rakyat di negara ini bakal membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menentukan gabungan parti yang akan menerajui pucuk pimpinan negara.
Tentunya ramai yang sudah berkira-kira untuk memilih parti atau calon pilihan masing-masing bagi mewakili dan membawa suara mereka ke Parlimen nanti. Lebih daripada itu, ialah untuk menentukan kerajaan yang menentukan hala tuju negara bagi tempoh lima tahun lagi.
Cuma mungkin masih ada yang masih bingung untuk memilih gabungan parti yang berkenan di hati. Untuk itu, perlunya kita semua berfikir sedalam-dalamnya dengan mengambil kira semua aspek sebelum keputusan untuk memilih calon atau sesuatu gabungan parti dibuat nanti.
Kita mahu pemimpin yang benar-benar kompeten dan layak dipilih untuk menerajui pentadbiran negara.
Paling penting kita mahu pemimpin yang bakal dipilih kelak bukan sekadar mampu menyelesaikan isu-isu setempat di kawasan yang diwakili sahaja, malah mereka mestilah terdiri daripada pemimpin yang berupaya membawa negara ke hadapan dalam segala aspek.
Mereka mestilah berupaya untuk merancang dan memacu negara bergerak maju baik dari segi pembangunan ekonomi, fizikal atau pembangunan insan yang akhirnya kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Untuk membolehkan semua itu menjadi kenyataan, kita memerlukan seorang pemimpin serta kerajaan yang benar-benar berpengalaman, berpengetahuan dan memahami setiap tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka supaya akhirnya negara yang kita cintai dikagumi dan disegani dunia.
Diharap, dengan memiliki kerajaan yang teguh dan stabil, ia akan mampu untuk menarik semula pelabur asing melakukan bisnes atau menanam modal di negara ini, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi negara.
Jadi, kita tidak seharusnya terbuai dengan pemimpin yang hanya tahu menabur kata-kata indah dengan menjanjikan itu dan ini, sedangkan hakikatnya mereka langsung tidak mempunyai pengetahuan dan kebolehan bagi membawa negara bersaing dalam arus global.
Jika tersalah pilih pemimpin sebegitu, bukan sahaja kita sebagai rakyat tidak akan memperoleh apa-apa manfaat daripada mereka, malah mungkin negara akan bergerak mundur ke belakang dan kita terpaksa hidup dengan keadaan itu sehingga lima tahun lagi.
Untuk membuat pilihan tepat, seharusnya trek rekod pencapaian gabungan parti itu harus diambil kira. Teliti secara mendalam setiap sumbangan mereka sebelum ini. Paling tidak, lihatlah apa yang kita nikmati hari ini, dari mana datangnya semua kemakmuran itu?
Kepada pemimpin yang bakal terpilih pula, jalankan tugas dengan ikhlas dan penuh rasa rasa tangungjawab demi kepentingan rakyat dan negara. Jangan sekadar menjadikan gelaran wakil rakyat sebagai platform untuk kepentingan diri semata-mata. Selamat mengundi.