fbpx

Tol percuma untuk rakyat balik mengundi – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa 30 konsesi lebuh raya di seluruh negara telah bersetuju untuk menawarkan kadar tol percuma selama dua hari susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hujung minggu ini.

Ismail Sabri berkata, kadar tol percuma itu akan bermula dari pukul 12.01 pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November 2022.

“Kadar tol percuma ini akan melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

“Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu dari inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Wisma Cuepacs Putrajaya di sini hari ini.

Tambah beliau, tawaran pemberian tol percuma itu diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuh raya minggu lalu.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan setiap lima tahun sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI