ANKARA – Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu menuduh Parti Pekerja Kurdistan (PKK) bertanggungjawab ke atas pengeboman di sebatang jalan sibuk di Istanbul yang membunuh enam orang.
Letupan kuat menggegarkan Istiklal Street yang merupakan destinasi beli-belah popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Letupan yang berlaku tengah hari kelmarin itu turut mencederakan berpuluh-puluh mangsa.
Menurut pihak berkuasa, seorang suspek diberkas awal pagi semalam.
“Orang yang meletakkan bom telah diberkas. Berdasarkan penemuan kami, organisasi pengganas PKK bertanggungjawab melancarkan serangan ini,” kata Suleyman dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi, Anadolu semalam.
PKK yang disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan sekutu Barat, meneruskan pemberontakan untuk menubuhkan pemerintahan sendiri puak Kurdis di tenggara Turkiye sejak tahun 1980-an.
PKK yang kerap menyasarkan operasi tentera Ankara, menjadi isu antara Sweden dan Turkiye. Ankara menyekat penyertaan Stockholm dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara(NATO) sejak Mei lalu selepas menuduh Sweden berlembut dengan PKK.
Terdahulu, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan dahsyat ke atas Istiklal itu.
“Kami mungkin tersilap jika mengesahkan serangan ini adalah keganasan tetapi berdasarkan petunjuk awal, kami menghidu bau keganasan di sana,” kata Erdogan dalam satu sidang akhbar kelmarin.
Istiklal Street pernah menjadi sasaran kempen serangan antara tahun 2015 dan 2016 yang menyasarkan bandar utama lain termasuk Ankara.
Ankara menyalahkan kumpulan militan Daesh dan pejuang Kurdis berhubung siri serangan itu yang membunuh hampir 500 orang dan mencederakan lebih 200 mangsa.
Letupan kelmarin berlaku sejurus selepas pukul 4 petang (waktu tempatan) di jalan beli-belah popular itu. – AFP