SAO PAULO – Pelumba Mercedes, George Russell berjaya meraih kemenangan sulung dalam saingan Formula 1 selepas mengesahkan kejayaan satu dua bersama rakan sepasukannya, Lewis Hamilton pada Grand Prix Brazil awal pagi semalam.
Russell memulakan perlumbaan di petak depan jelas berada pada prestasi terbaik apabila mendahului sejak awal perlumbaan dan kemenangan ini menamatkan penguasaan pasukan Red Bull yang memburu kemenangan grand prix ke-10 berturut-turut musim ini.
“Ini baharu permulaan. Saya tahu kita boleh lakukannya, saya menangis dan memerlukan tisu.
“Perasaan yang cukup hebat. Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan dan kejayaan ini menghadirkan perasaan bercampur baur buat saya sepanjang perlumbaan kali ini.
“Ia satu perlumbaan yang sukar, namun saya dapat mengawalnya. Lewis cukup laju dan berjaya menekan saya, namun saya begitu gembira dapat menamatkan perlumbaan ini dengan kejayaan,” katanya.
Pada perlumbaan tersebut, Russell menamatkan perlumbaan dengan catatan satu jam 38 minit 34.044 saat, diikuti Hamilton kedua dan Carlos Sainz Jr. ketiga untuk melengkapkan kedudukan podium.
Juara dunia musim ini, Max Verstappen dari Red Bull sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam ketinggalan 10.056s di belakang Russell.
Sementara itu, Hamilton nyata gembira untuk melihat pencapaian diraih Russell dan menyifatkan rakan senegaranya itu seorang pemandu yang cukup luar biasa.
“Dia mengharungi pusingan kelayakan dengan cukup hebat, jadi dia benar-benar layak untuk memenangi perlumbaan ini. Ia adalah keputusan yang luar biasa dan memberikan kepuasan buat pasukan,” ujarnya. – AGENSI