PETALING JAYA – Krisis bekalan telur yang sukar didapati di pasaran menyebabkan ramai peniaga kek dan pastri terjejas pendapatan.
Ada sesetengah peniaga terpaksa ‘cuti’ menerima tempahan pelanggan disebabkan tidak dapat mencari bekalan telur.
Selain itu, ada juga peniaga kek dan pastri yang terpaksa beratur panjang di depan premis pemborong telur demi kelangsungan perniagaan.
Di Kampung Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan, seorang pengusaha kedai kek menyatakan terpaksa menunggu di depan kedai pemborong telur selepas subuh.
Kata Aiman Ahmad Farid, 33, bersama isteri, Nur Izzatie Mohamad, 29, dan para peniaga terpaksa datang awal ke kedai borong telur untuk membeli beberapa papan telur.
“Dulu boleh beli sampai 20 papan telur, sekarang nak beli 5 papan pun macam nak ‘bersilat’ rasanya,” jelas Aiman.
Katanya lagi, kedai borong telur juga mempunyai bekalan yang terhad.
Berita berkaitan: Susah jual nasi lemak, laksa telur tiada
Ujarnya, harga jualan sepapan telur di kedai borong kebiasaannya RM12.60 untuk gred A dan RM12.40 bagi gred B.
Katanya, jika telur di kedai borong kehabisan stok, dia perlu membeli telur di kedai runcit yang menjual bekalan dengan harga antara RM15 hingga RM18 sepapan.
“Saya tetap kena beli telur walaupun harga di kedai runcit mahal berbanding kedai borong. Jika tidak, pembuatan pelbagai jenis kek dan pastri di kedai saya tergendala.
“Saya sebagai peniaga tersepit dengan kenaikan harga bahan mentah lain dan kini perlu berdepan dengan kekurangan bekalan telur,” katanya.
Sementara di George Town, Pulau Pinang pula, seorang peniaga kek terpaksa menutup buku tempahan buat sementara selama seminggu berikutan tidak sanggup berdepan dengan krisis bekalan telur yang serius sejak lebih dua minggu lalu.
Pengusaha Ajja Bakery & Pastry, Nur Hajar Salim, 32, berkata, dia terpaksa berulang alik sejauh 20 hingga 30 kilometer setiap hari dari Teluk Kumbar ke Relau semata-mata untuk mendapatkan bekalan telur ayam gred A.
Menurutnya, banyak premis peruncitan, pemborong dan pembekal di daerah Barat Daya sehinggalah ke Timur Laut turut berdepan masalah sama.
“Kali ini, pembelian telur ayam terpaksa dibuat secara tempahan dan bayaran awal atau deposit dikenakan oleh pemborong.
“Bayar hari ini, akan dapat (telur ayam) pada keesokannya. Jika tak tempah, memang tidak akan berpeluang membeli telur kerana akan habis dijual dalam tempoh sejam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.