ISTANBUL – Letupan kuat menggegarkan lokasi beli-belah popular di kota Istanbul semalam, membunuh enam orang serta mencederakan berpuluh-puluh mangsa lain dalam kejadian yang disifatkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebagai serangan pengganas.
Polis mengepung kawasan sekitar Istiklal yang dipenuhi orang ramai petang semalam (waktu tempatan). Beberapa buah helikopter berlegar-legar di seluruh pusat bandar Istanbul, manakala siren amaran dibunyikan.
“Saya berada antara 50 hingga 55 meter (dari lokasi letupan) dan kemudian terdengar bunyi letupan kuat. Saya dapat melihat tiga atau empat orang terbaring di atas tanah,” kata saksi, Cemal Denizci, 57.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menyelar kejadian tersebut dan menggelarnya sebagai ‘serangan keji’.
“Saya mungkin salah jika mengatakan ini semestinya serangan pengganas namun, berdasarkan petanda-petanda awal, terdapat unsur keganasan,” kata beliau dalam satu sidang akhbar.
Sementara itu, Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay berkata: “Seorang wanita dilihat duduk di atas sebuah bangku selama lebih 40 minit sebelum dia bangun.
“Satu atau dua minit kemudian, letupan berlaku.
“Terdapat dua kebarangkalian. Sama ada bahan letupan diletakkan di dalam beg dan ia meletup, atau seseorang meletupkannya dari jauh. Semua data mengenai wanita berkenaan sedang disiasat,” ujar Oktay. – AFP