fbpx

Suami isteri nyaris ditimpa bumbung rumah sewa runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah sewa dihuni suami isteri di Bukit Mertajam selepas struktur bumbung runtuh petang tadi.

SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri nyaris cedera ditimpa struktur bumbung yang runtuh di kediaman sewa mereka di Taman Impian, Bukit Mertajam di sini petang tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4 petang itu ketika penghuninya, Khairul Faiz Kamaruddin, 38, bersama isterinya berada di dalam rumah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, ketika kejadian pasangan tersebut dikatakan sedang duduk di atas sofa di bahagian ruang tamu iaitu tidak jauh dari tempat runtuhan.

“Kejadian itu berlaku apabila atap genting dan alang kayu rumah tersebut patah secara tiba-tiba.

“Ketika ini, nilai kerosakan masih belum diketahui dan satu laporan polis akan dibuat oleh mangsa sebelum dikemukakan kepada semua agensi yang terlibat untuk bantuan bencana,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, pasangan suami isteri itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka dipercayai telah menyewa di situ sejak lima tahun yang lalu dengan kadar sewa sebanyak RM600 sebulan.

Jelas Boon Poh, ketika ini pasangan tersebut ditempatkan di sebuah hotel di Alma selama beberapa hari atas ehsan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Kai Loon.

Beritahu beliau, pejabat ADUN Machang Bubok juga akan membuat permohonan rumah sewa bencana untuk mangsa iaitu melalui unit di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan di sini

“Pada masa sama, mangsa akan dipertimbangkan untuk mendapat Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) memandangkan terdapat kerosakan harta benda milik mereka seperti perabot, peti ais, meja makan dan kerusi, televisyen, sofa serta monitor komputer,” tambahnya.

Ketika ini, hujan berterusan melanda di lima daerah di negeri ini sejak pukul 7 petang tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI