IPOH – Hasrat Malaysia meraih gelaran dalam Kejohanan Badminton Petronas Malaysia International Series berakhir di Ipoh hari ini tidak kesampaian.
Ini berikutan kekalahan wakil tunggal negara dalam perlawanan akhir acara beregu lelaki yang berlangsung di Arena Badminton Perak di sini.
Sandaran kepada pasangan Beh Chun Ming-Goh Boon Zhe musnah dalam hanya 52 minit apabila pasangan muda itu tumpas 21-11, 21-13 kepada pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Pasangan negara itu bermula dengan baik, tetapi gagal mengekalkan momentum apabila lawan mengenakan tekanan.
Chun Ming-Boon Zhe nyata bukan tandingan lawan yang lebih besar dari segi susuk badan itu.
Bagi kejayaan mereka itu pasangan China itu meraih AS$790 (RM31,600) manakala Chung Ming-Boon Zhe terpaksa berpuas hati dengan RM14,300.
Pemain perseoranngan lelaki Indonesia, Syabda Perkasa Belawa berjaya menyekat Negara Tembok Besar itu menyapu bersih semua gelaran.
Syabda yang diletakkan sebagai pilihan kelapan menumpaskan pemain China Lei Lan Xi 21-17, 21-18 sekali gus meraih RM30,000. Lan Xi meraih RM14,300.
Terdahulu, China muncul juara acara beregu campuran, perseorangan wanita dan beregu wanita. – KOSMO! ONLINE