fbpx

Mengaku tiada kereta, Elizabeth Tan, suami ‘hangkut’ PS5 naik motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lizzy dan suami membeli set permainan PS5 di sebuah pusat beli-belah dan membawanya pulang dengan menaiki motosikal.

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan tidak malu mengaku bahawa dia dan suaminya, Dr. Siew Jim tidak memiliki kereta walaupun kedua-duanya mempunyai kerjaya yang stabil.

Bahkan selebriti berusia 29 tahun itu memberitahu dia bersama suaminya yang juga merupakan seorang doktor akan menggunakan motosikal untuk bergerak ke mana sahaja termasuk ketika membeli-belah.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam TikTok miliknya, Elizabeth atau mesra disapa Lizzy berkongsi momen sewaktu mereka membeli set permainan video Play Station 5 (PS5) di sebuah pusat beli-belah dan membawanya pulang dengan menaiki motosikal.

“Bila teruja dapat beli PS5, tapi kena naik motosikal. Kami berdua memang tidak ada kereta,” tulis Lizzy.

Dalam video yang dikongsikan itu, kelihatan Siew Jim mengangkut permainan video PS5 yang baru dibelinya itu sambil menunggang motosikal jenis Yamaha-MT 25. Set permainan video itu juga dilihat telah dimasukkan ke dalam plastik bagi mengelak terkena hujan.

Perkongsian pelantun Knock Knock itu sekali gus meraih perhatian netizen apabila menyifatkan Lizzy dan suami sebagai pasangan yang merendah diri.

“Pasangan yang comel,” kata seorang netizen.

“Kedua-duanya merendah diri,” puji seorang lagi pengguna TikTok.

Dalam ruangan komen itu juga, Lizzy turut bersetuju dengan pendapat netizen apabila berkata menunggang motosikal di Kuala Lumpur lebih mudah kerana tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

“Pakai motosikal tak perlu tersangkut dalam kesesakan jalan raya,” kata Lizzy.

Menerusi maklum balas kepada netizen, Lizzy berkata dia dan suami mempunyai perancangan untuk membeli kereta pada hujung tahun nanti.

“Hujung tahun ini baru beli (kereta). Mungkin,” katanya.

Untuk rekod, bintang filem Misteri Dilaila itu mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim, 31, yang juga seorang ahli perniagaan pada 21 Mac 2021.

Pasangan tersebut masih belum dikurniakan cahaya mata dan merancang untuk memilikinya pada akhir tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI