fbpx

PRU15: Beri mandat mencukupi kepada BN elak ketidakstabilan politik – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid bertemu penduduk sewaktu berkempen PRU15.

BAGAN DATUK – Rakyat perlu memberi mandat yang mencukupi untuk Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan bersendirian bagi mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN telah membuktikan keupayaannya mentadbir negara selama 62 tahun dengan aman tanpa berlaku pergolakan dan pertelingkahan politik apabila diberi mandat mencukupi oleh rakyat.

Bagaimanapun, ujar beliau, apabila BN tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan, maka berlaku ketidaktentuan politik dan hanya mampu bertahan 22 bulan sahaja.

“Dengan izin Allah, selama 62 tahun kita mentadbir negara, alhamdulillah aman damai.

“(Tetapi) tengoklah bila kita tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, itulah yang berlaku ketika zaman PH selama 22 bulan, semua janji tidak dipenuhi, kita pun tahu dan zaman PN (Perikatan Nasional) makin teruk.

“Jadi, untuk mengelakkan kesengsaraan rakyat, mari bertukar balik kepada BN,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Program Kenduri Sekampung dan pertandingan memancing di Kampung Sungai Nipah Baroh di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang menjangkakan BN tidak akan memperoleh bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dalam PRU15 ini.

Justeru, beliau dipetik sebagai mendakwa BN dan UMNO akan berunding dengan parti lain untuk membentuk kerajaan dengan PH dijangka menjadi pilihan.

Menurut Ahmad Zahid, PN gagal memerintah negara ketika diberi peluang selama 17 bulan, justeru mereka yang mengundi parti tersebut seolah-olah memilih untuk berada di bawah kerajaan yang gagal.

“Jadi rakyat Malaysia cukup-cukuplah dengan kerajaan PN yang gagal, nanti banyak pula penyakit baharu sampai. Cukuplah 17 bulan itu. Jadi yang menyesal itu BN sudah maafkan, kembalilah kepada BN,” jelas Presiden UMNO itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI