SEREMBAN – Selepas 14 tahun menempuh cabaran dalam dunia jahitan dan percetakan pakaian, Noorazura Mohd. Nasir mengimpikan untuk memasar produk menggunakan jenama sendiri.
Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Noorazura, 38, mengimpikan jenama Zoraz Fashion Hub menjadi pilihannya dan suami, Osman Hossin, 46, digayakan oleh kaum hawa di seluruh negara.
Namun, banyak lagi perlu diperbaiki bagi merealisasikan cita-citanya itu kerana modal tinggi dan pekerja berkemahiran menjadi halangan utama yang perlu diatasi.
“Saya bercadang membuka butik fesyen muslimah, bukan sekadar memenuhi impian sendiri bahkan mahu berkongsi rezeki dengan sahabat AIM yang lain.
“Saya mahu maju bersama mereka. Jika direalisasikan, mereka akan menjadi ejen atau mendapat faedah menerusi dropship,” katanya.
Noorazura juga yakin segala halangan dapat diatasi dengan bantuan pembiayaan kewangan dan kepercayaan diberikan AIM agar impian membina jenama sendiri menjadi kenyataan.
Berkongsi sejarah perniagaan, Noorazura bermula dengan beberapa buah mesin jahit untuk menyiapkan tempahan di rumah sehinggalah dapat menubuhkan syarikat Zura Balduzi Art.
Perkhidmatan ditawarkannya adalah menjahit pakaian, sulaman berkomputer, silk screen dan sublimition pada pelbagai jenis fabrik, baju, jersi, jaket, beg serta pakaian seragam.
Kini, dia mampu menggaji 15 pekerja dibantu mesin serta peralatan canggih menyiapkan sekitar 6,000 hingga 10,000 helai pakaian setiap bulan di kilang mereka di Seremban Jaya.
AIM juga memberi bimbingan menerusi kursus termasuklah yang dianjurkan di Vietnam.
“Sebenarnya saya tahu bantuan ditawarkan AIM menerusi rakan. Dengan hubungan baik dan kepercayaan yang diberikan, saya akan lebih maju ke hadapan serta dapat membina jenama sendiri selepas ini,” ujarnya.
Atas komitmen dan kemajuan ditunjukkan Noorazura, jumlah pembiayaan yang diberikan kepadanya dinaikkan kepada RM30,000 berbanding cuma RM3,000 pada peringkat awal.
“Pembiayaan digunakan sebagai modal pusingan, bukan semua untuk beli kain dan keperluan lain. Usahawan perlu bijak dalam hal ini,” katanya.
Sepanjang pandemik, jumlah tempahan turun mendadak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, Noorazura berjaya mendapat kontrak membekalkan pelitup muka dan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan.
Layari Facebok dan Instagram Zura Balduzi Art atau http://zorazfashionhub.wixsite.com/website bagi sebarang tempahan. -KOSMO! ONLINE