KETUA Inspektor Penjara, Noradlie Abdul Raub tersenyum bangga tatkala namanya dipanggil untuk menerima Anugerah Uniutama Education and Consultancy Sdn. Bhd. dalam Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-34 yang berlangsung pada 6 November hingga 10 November lalu.
Penat lelahnya terbayar apabila dia bukan sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian di dalam majlis tersebut, malah mendapat anugerah tertinggi Uniutama selain menerima anugerah Timbalan Naib Canselor.
Lelaki berusia 40 tahun itu mengakui dirinya agak sibuk dengan kerjaya sebagai Pegawai Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Penjara Malaysia Kajang, Selangor.
Bagaimanapun, bapa kepada empat orang cahaya mata itu berjaya membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai dalam hidup.
“Saya tidak menyangka langsung akan menerima anugerah ini. Saya terkejut tetapi pada masa sama bersyukur kepada Allah SWT.
“Ini adalah rezeki kepada kedua-dua ibu bapa, isteri dan anak-anak yang banyak berkorban sepanjang saya menyambung pengajian,” katanya kepada iGen baru-baru ini.
Berkongsi kisah kejayaannya, Noradlie memaklumkan, setelah memiliki Diploma Fine Metal Design dan ijazah dalam bidang komunikasi massa di salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, dia merasakan perlunya kemahiran serta pengetahuan lain yang boleh memberi nilai tambah semasa bertugas di Jabatan Penjara.
Tambahan pula, Noradlie begitu rindukan suasana kampus kerana semasa menyambung pengajian sebelum ini, dia berpeluang bertemu rakan daripada pelbagai bidang yang boleh dijadikan motivasi, berkongsi pandangan dan menambah kemahiran.
Lantaran itu, dia nekad untuk menyambung pengajian ijazah sarjana muda keduanya dalam jurusan pengurusan awam di UUM biarpun pada waktu itu telah memiliki kerjaya stabil.
“Ini adalah hasil dorongan yang diberikan oleh Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad yang sentiasa menggalakan kakitangan di Jabatan Penjara melanjutkan pelajaran.
“Nordin sentiasa mahukan kakitangan Jabatan Penjara mempunyai kemahiran dan ilmu yang pelbagai.
“Ilmu berkenaan boleh disalurkan kepada perkhidmatan terutama untuk membantu jabatan itu menjalankan fungsinya sebagai pusat koreksional elit di rantau asia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia juga terinspirasi dengan salah seorang banduan yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sepanjang menjalani hukuman.
Katanya, dia ‘terpukul’ apabila melihat salah seorang penghuni penjara giat membuat ijazah kedoktoran sewaktu menjalani hukuman penjara.
Penghuni tersebut telah berjaya membuat diploma, sarjana muda dan sarjana sepanjang menjalani hukuman.
Sedangkan dia sebagai manusia normal dan bebas pula tidak berjaya memperoleh pencapaian seperti itu.
“Sebagai bapa, saya perlu jadikan diri sebagai idola, selain memberikan motivasi kepada anak-anak untuk berusaha mendapatkan pendidikan pada tahap tertinggi.
“Pada usia anak-anak yang masih di sekolah rendah dan menengah, mereka sudah tahu betapa pentingnya ilmu dan ia tidak boleh dipandang ringan,” jelasnya.
Katanya, dia melihat 2022 sebagai tahun bertuah apabila turut dikurniakan dengan pingat Komisioner Jeneral Penjara Kelas Satu di atas sumbangannya kepada jabatan.
Noradlie juga telah dipilih oleh panel penjurian untuk Top 5 Penulis Skrip Drama Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2022 yang diadakan baru-baru ini.
“Saya juga aktif dalam penulisan skrip drama dan melihat ia merupakan satu bidang yang seronok untuk diceburi.
“Apabila sebuah karya itu ditulis dan diterjemahkan dalam bentuk visual, ia boleh ditonton di serata dunia.
“Saya gunakan bakat yang ada dalam penulisan skrip untuk mendidik dan memberi teladan kepada masyarakat. Ia adalah sumbang bakti saya kepada masyarakat.
“Kepercayaan yang diberikan oleh penerbit dan stesen televisyen membuatkan saya sentiasa mencari masa untuk berkarya.
“Sehingga kini, saya telah menulis hampir 40 skrip telemovie dan drama bersiri,” kongsinya.
Menariknya, karya-karya sentuhannya berjaya menembusi Anugerah Skrin dan Anugerah Seri Angkasa melalui pelbagai kategori.
Menurut Noradlie, pengurusan masa dan disiplin adalah penting dalam kehidupan individu terutamanya sebagai pelajar.
“Pelajaran menjadikan kita lebih bernilai daripada orang lain. Kita akan dipandang tinggi dengan ilmu yang dimiliki.
“Pelajaran bukan satu jaminan untuk seseorang itu mendapatkan pekerjaan diimpikan.
“Setiap pelajar juga perlu menghormati tenaga pengajar dan sentiasa mewujudkan hubungan yang baik dengan mereka.
“Restu ibu bapa serta keluarga juga diperlukan untuk memudahkan pengajian.
“Senantiasalah berdoa kepada yang Maha Esa untuk memudahkan segala urusan,” tambahnya.