fbpx

Haos Ek? pelbagaikan perisa pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORDIANIS menunjukkan produk Teh Saka dan Kopi Peng Puaka keluaran Haos Ek? yang terdapat di pasaran.

SKUDAI – Idea mewujudkan pelan survival demi menyelamatkan syarikat yang nyaris hanyut ketika pandemik membuahkan hasil bagi seorang sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Demikian yang dilalui Nordianis Permin, 42, apabila perniagaan pengiklanan yang diusahakannya merudum sehingga tidak mampu menampung kos operasi.

Kongsi wanita asal Skudai, Johor itu, dalam tempoh setahun bermula Mac 2020, sumber pendapatan syarikatnya merosot sehingga tidak mampu menampung gaji 45 pekerja termasuk sewa premis perniagaan sekitar RM120,000 sebulan.

Detik paling sukar dilalui apabila dia terpaksa menggunakan semua simpanan tunai serta mencairkan hampir semua aset syarikat demi menampung perbelanjaan.

Bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk kata Nordianis, dia bertindak mengumpulkan semua kumpulan pengurusan syarikat bagi membincangkan tindakan yang perlu dilakukan.

“Kami mempertimbangkan beberapa langkah ketika itu sama ada tutup syarikat, buang
pekerja, cutikan pekerja tanpa gaji atau wujudkan projek lain sebagai pelan survival.

“Selepas sesi sumbangsaran (brainstorming) bagi mengenal pasti kekuatan dan pengalaman yang ada, kami memutuskan mewujudkan projek lain iaitu produk minuman kegemaran rakyat Malaysia yang sedia untuk diminum,” katanya.

Persiapan memakan masa selama dua bulan sahaja iaitu dari Mac hingga Mei 2021 sebelum akhirnya dia dan pasukan berjaya mewujudkan Projek Minuman Sedia Diminum yang dinamakan Haos Ek? pada 1 Jun tahun sama.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, dia bersyukur kerana strategi yang dilaksanakan dengan menggunakan model perniagaan sistem ejen membuahkan hasil di luar jangkaan.

Malah, dengan sokongan kuasa tular, syarikatnya iaitu Adin Marketing Group Sdn. Bhd. berjaya menjual dua juta botol Haos Ek? dalam masa setahun.

Kini produk tersebut mula menembusi pasaran negeri lain antaranya Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang termasuk Singapura menerusi siri latihan sistem pengedaran strategik kepada ejen-ejen yang komited.

Bercakap tentang perancangan masa depan, Nordianis gigih merangka pelan strategi penjenamaan dan pemasaran agar lebih ramai akan mengenali minuman Haos Ek?.

“Buat masa ini, Haos Ek? mempunyai lima perisa kegemaran ramai iaitu Teh Saka, Kopi Peng Puaka, Kopi O Mambang, Sirap Bandung Pink Ponti dan Choco Ek?,” katanya.

Kata Nordianis, dia amat bersyukur memiliki suami dan keluarga yang sangat penyayang serta sentiasa menyokong perjalanannya sebagai usahawan.

“Ketika berdepan cabaran, mereka dan kumpulan pengurusan sentiasa menjadi tulang belakang saya. Jatuh bangun adalah lumrah perniagaan, namun pengalaman berdepan setiap cabaran dan bersatu hati mencari penyelesaian paling bermakna.

“Terima kasih AIM kerana selalu memberi sokongan kepada Haos Ek? menerusi peluang latihan, pemasaran, jualan dan juga bantuan kewangan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan minuman viral tersebut di stesen-stesen minyak, kedai-kedai runcit dan ejen-ejen berhampiran atau hubungi ibu pejabat Haos Ek? di talian 019-727 6108.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI