MADRID – Walaupun dianggap bernasib baik, jurulatih Sepanyol tetap memberi kredit terhadap pemainnya selepas menang tipis 1-0 ke atas Switzerland pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Alfredo Di Stefano awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad La Roja menjaringkan gol kemenangan menerusi Mikel Oyarzabal yang menghukum kesilapan penjaga gol pasukan pelawat, Yann Sommer.
Meskipun ramai pihak mendakwa kemenangan itu sekadar ‘hadiah’ dari Sommer, namun Enrique menegaskan, skuad kendaliannya sudah menampilkan aksi sempurna pada perlawanan tersebut.
“Kemenangan ini bukannya berpunca daripada kesilapan mereka, ia adalah kejayaan Sepanyol yang memberi tekanan kepada mereka. Usaha keras kami membuahkan hasil.
“Kami menguasai perlawanan kerana Switzerland hanya memiliki satu peluang untuk menjaringkan gol. Sepanyol sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar,” ujar Enrique.
Tambah bekas jurulatih Barcelona itu, Sepanyol langsung tidak memberi ruang buat Switzerland apabila sentiasa melancarkan serangan sehingga menyebabkan benteng pertahanan pelawat kucar-kacir.
“Saya bangga dengan pergerakan kami ketika berada dalam kawasan pasukan lawan. Corak permainan yang kami tampilkan menyebabkan mereka sukar mencipta peluang,” jelasnya. – AGENSI