KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah memasuki hari ke-10 hari ini sebelum kira-kira 21.17 juta pengundi bakal memuktamadkan pilihan masing-masing pada 19 November ini.
Sebahagian mereka iaitu lebih kurang 26,000 pengundi dalam kalangan kakitangan pasukan keselamatan pula akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam hari pengundian awal yang berlangsung esok.
Seramai 945 calon termasuk 108 calon bebas bertanding merebut 222 kerusi Parlimen, manakala 441 calon pula bertanding di 117 kawasan dewan undangan negeri (DUN) di Perlis, Perak dan Pahang serta Bugaya, Sabah.
Sudah pasti pelbagai pertimbangan akan diambil oleh pengundi sebelum memangkah di kertas undi seperti parti politik, profil calon, prestasi semasa pemerintah, senario ekonomi dan pengaruh keluarga.
Tidak kurang juga mempertimbangkan manifesto parti-parti bertanding terutama bagi lebih 1.4 juta pengundi muda yang pertama kali akan terlibat dalam proses pilihan raya.
Empat blok parti politik utama iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) telah mengemukakan manifesto masing-masing pada minggu lalu.
BN mengemukakan 99 tawaran, PN (234), PH (10) manakala GTA pula tujuh kepada rakyat sekiranya diberi mandat untuk menerajui negara pada PRU15.
Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya umum negara ini, kesemua parti politik terbabit tidak menggunakan terma manifesto dalam mengemukakan janji-janji pilihan raya terbabit.
BN menggunakan terma Pelan Amal dan Usaha (PADU), PN pula Tawaran PN Bersih Stabil (Best), PH (Tawaran Harapan), manakala GTA (Agenda Pembaharuan).
Bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya kecenderungan parti-parti politik itu disebabkan stigma masyarakat yang buruk terhadap kegagalan PH menunaikan sebahagian janji-janji manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, kebanyakan rakyat memandang sinis terma tersebut apabila kepimpinan PH yang menerajui kerajaan pada masa itu memberi alasan kononnya ‘manifesto bukan kitab suci’ untuk tidak mengotakannya.
“Perkataan manifesto telah dikotori dengan sangat teruk sehingga semua berkaitannya dianggap sekadar janji manis politik yang tidak boleh dipercayai.
“Wujud perasan was-was dalam kalangan majoriti rakyat tentang keikhlasan mana-mana parti politik untuk menunaikan manifesto masing-masing,” katanya.
Sementara itu, penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, rata-ratanya manifesto diumumkan parti-parti politik pada PRU15 kali ini lebih realistik untuk ditunaikan.
Beliau berkata, parti-parti politik dilihat sudah mengambil pengajaran yang berlaku pada penggal PRU14 kerana semuanya kini dalam pernilaian rakyat.
“Jika hendak dibandingkan keempat-empat manifesto yang telah dikemukakan (oleh empat blok parti politik), PH dan BN paling realistik.
“Begitupun ada sebahagiannya memerlukan huraian lebih jelas bagi memudahkan rakyat memahaminya,” katanya.
Bagaimanapun, Awang Azman mengakui berdasarkan trend terdahulu, tidak lebih 10 peratus pengundi benar-benar membaca manifesto sebelum memutuskan undi mereka dalam pilihan raya.
Jelas beliau, masih ramai kurang cakna untuk mengetahui tawaran-tawaran dikemukakan tersebut dengan lebih terperinci.
“Tidak kurang juga yang lebih suka mendengar retorik dan gosip politik sepanjang tempoh kempen pilihan raya,” katanya.