fbpx

Lima perkara yang anda perlu tahu mengenai PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemeriahan bendera parti politik memeriahkan kempen PRU15 di Kampung Gugusan Manjoi, Perak. -MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Sabtu ini kira-kira 21 juta rakyat negara ini akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di negara berteraskan demokrasi bagi kali ke-15. Pada awal pagi Ahad kita akan tahu siapa bakal menerajui negara ini, siapa akan menubuhkan kerajaan serta perdana menteri yang ke-10.

Selepas dua minggu, kita akan mengetahui apakah pengakhiran kepada semua janji-janji dan harapan yang diberikan semua calon dan parti.

Seperti diketahui, ini adalah pilihan raya paling sengit dengan 945 calon bertanding untuk 222 kerusi Parlimen selain kehadiran empat pakatan politik besar serta gagasan kecil lain.

Dalam kesibukan berkempen yang akan berakhir dalam kurang daripada 72 jam, ini adalah LIMA perkara yang anda perlu tahu sebelum keluar mengundi Sabtu ini.

Pertama – Pemilihan kerajaan dan proses mengundi kali ini untuk memilih kerajaan untuk lima tahun akan datang. Parti yang menang dan memperoleh undi majoriti akan menerajui kerajaan untuk lima tahun.

Seorang pemimpin akan tinggal di Seri Perdana dan menguasai Kabinet serta menentukan hala tuju negara selama 60 bulan. Jadi pilih dengan bijak. Memilih kerajaan bukan seperti pilih beras. Minggu ini tak sedap, tukar beras lain minggu depan. Minggu satu lagi beli beras lain.

Kedua – Jika tiada satu parti meraih majoriti 112 kerusi di Dewan Rakyat, maka akan berlaku tawar menawar bagi mendapat sokongan di kalangan parti kecil bagi mendapatkan majoriti. Jika itu berlaku, maka Malaysia sekali lagi akan mempunyai kerajaan campuran seperti selepas PRU14. Konsep Kerajaan campuran masih asing di negara yang mana sebelum ini pihak yang menguasai Putrajaya sentiasa ada majoriti besar sehingga ada masa lebih dua pertiga.

Ketiga – Kesan kerajaan campuran tidak selalunya elok. Akan ada tawar menawar seperti beli sayur di pasar bagi melengkapkan majoriti di Parlimen. Ia tidak salah dan berlaku di banyak negara. Cuma masalahnya, tawar menawar ini ada harganya. Ada tawaran jawatan, kedudukan, janji dan sebagainya. Daripada kabinet 24 orang akan kembung sehingga 40 orang.

Nanti ada jawatan duta bertaraf menteri ke Asia Barat, China, India, dan mungkin sehingga ke Timbuktu. Semua terima gaji dan elaun seperti menteri walaupun mereka langsung tidak layak. Wang cukai penulis dan ramai pembaca akan dikorbankan untuk mereka yang langsung tidak menyumbang untuk negara.

Keempat – Kingmaker atau penentu ada kuasa besar selepas PRU15 ini. Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti kecil lain akan memainkan peranan penting dalam penubuhan kerajaan. Malah, GPS dilaporkan berkata ia akan bersama kerajaan yang ada majoriti. Sudah ada tuntutan jawatan menteri tambahan dan pelbagai kebebasan. Itu harga kekuasaan yang harus dibayar kerana kegagalan mendapat kuasa majoriti.

Kelima – Memilih mereka yang ikhlas hatinya. Sepanjang kempen ini kita dengar ahli politik bercakap mengenai “saya”. “Saya buat tu. Saya buat ini. Saya patut jadi ini. Saya patut jadi itu”. “Saya” hanya seorang.

“Kita” adalah 32.7 juta rakyat. Kegilaan mengenai “saya” seperti dibuktikan sejarah dan diktator-diktator terdahulu hanya membawa ke “dark side” atau kegelapan. Hati budi dan keikhlasan seseorang boleh dinilai daripada kata-kata dan tindakan. “Saya” tidak boleh lebih besar daripada negara ini.

Selamat mengundi dan hendaknya Malaysia selamat untuk lima tahun akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI