PENYANYI antarabangsa Madonna menuai kritikan daripada netizen gara-gara melakukan aksi jijik apabila menjilat air dari bekas mangkuk anjing.
Aksi memualkan tersebut sekali gus menyebabkan selebriti berusia 64 tahun itu dikecam netizen sehingga ada yang menggelarkannya sebagai wanita gila.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik Madonna dalam Instagram miliknya, pelantun lagu Like a Virgin itu dilihat mengenakan busana berwarna hijau dan memakai skirt pendek berona hitam yang dipadankan dengan but potongan tinggi.
Madonna kemudiannya mempamerkan aksi-aksi mengghairahkan sambil menunggang motosikal sehinggalah babak terbaring di atas lantai dan di sisinya terdapat sebuah mangkuk minuman anjing.
Ibu kepada Lourdes Leon itu kemudiannya menjilat air yang dalam mangkuk anjing tersebut sehingga membuatkan peminatnya berasa loya.
Melihat aksi jijik, rata-rata peminat menganggap bahawa penyanyi itu telah memalukan diri sendiri selain menghancurkan reputasi hebatnya pada masa lalu.
“Semakin memalukan. Saya sebagai peminat kamu berasa sangat kecewa dengan tindakan tersebut,” kata seorang netizen.
“Madonna, kamu perlu sedar bahawa usia kamu bukan lagi muda. Tolong ubah sikap buruk kamu,” kata seorang lagi peminatnya.