BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak kira siapa dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) mereka perlu memberikan tumpuan untuk memang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, tindakan berbalas kenyataan dalam kalangan calon dan pimpinan BN tidak membawa kebaikan kepada parti itu yang sedang berusaha untuk menang kerusi yang ditandingi bagi membolehkan BN membentuk kerajaan.
“Saya harap perkara-perkara lain itu kita ketepikan dulu, yang pentingnya solidariti dalam UMNO dan BN mesti dilihat dan ditonjolkan kerana rakyat sedang melihat, rakyat akan membuat pelnbagai spekulasi kalau kita dilihat tidak bersama-sama di dalam menghadapi PRU15.
“Apa pun kita buat yang pentingnya adalah jaga nama baik parti, yang pentingnya tingkat keyakinan rakyat untuk parti kita, untuk kita menang jadi parti yang dominan selepas PRU15,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Batu Papan di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang dilihat sering berbalas kenyataan khususnya berhubung isu pencalonan bekas Ahli Parlimen Rembau terbabit.-KOSMO! ONLINE