PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menjadikan isu banjir sebagai satu perjudian kepada mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu nanti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shabery Cheek berkata, dua parti tersebut yang berkuasa di beberapa negeri meramalkan akan adanya kejadian banjir besar pada hari mengundi nanti dan mereka hanya memperjudikan nasib mereka kepada situasi tersebut.
“Bagi PH iaitu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala PN adalah di Kelantan, Terengganu dan Kedah isu banjir adalah isu yang dibawa mereka sehingga hari ini.
“Kalau mereka berani mereka sudah bubarkan DUN masing-masing seperti mana yang telah dilakukan oleh negeri-negeri dikuasai BN, namun mereka takut dan jadikan banjir sebagai alasan mereka.
“Dengan keadaan dan alasan ini sebenarnya telah menjadi kelebihan besar kepada kami,” katanya pada sidang akhbar di saluarn BNComms sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE.