fbpx

Jangan buat hukum sendiri isu doktor lelaki sambut kelahiran bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Marzuk pada sidang akhbar di Pejabat Penerangan Pas di Kota Bharu hari ini. FOTO ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Golongan agama atau individu dinasihatkan agar tidak membuat sebarang keputusan dan hukum sendiri berhubung isu suami yang membenarkan isteri bersalin dengan doktor lelaki digelar dayus.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebaliknya, mereka perlu merujuk kepada pihak yang mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu.

“Mereka sepatutnya merujuk kepada yang benar. Sekiranya keputusan muzakarah, pandangan hukum dan fatwa membolehkan isteri bersalin dengan doktor lelaki, jadi ia tiada masalah.

“Jika ada perkara yang dilarang, sudah tentu ia perlu ditegah. Sememangnya ibu-ibu mahu doktor wanita menyambut kelahiran anak, namun mereka dibolehkan untuk bersalin dengan doktor lelaki jika dalam keadaan darurat. Ia perlu dilakukan kerana melibatkan nyawa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan Pas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga calon Perikatan Nasional bagi Parlimen Pengkalan Chepa berkata, orang ramai diharap tidak membuat hukum sendiri berhubung perkara itu dan perlu merujuk kepada pihak tertentu sebelum membuat kenyataan.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita bergelar ustazah melabelkan golongan suami sebagai dayus kerana membenarkan doktor lelaki melihat kemaluan isteri ketika menyambut kelahiran bayi.

Selain itu, pendakwah tersebut turut mengupas situasi seseorang yang boleh kehilangan jiwa dan roh andai bersalaman dengan golongan selebriti.

Katanya, mereka harus teruja berjumpa dan bersalaman dengan alim ulama kerana bersalaman dengan artis boleh merosakkan roh dan jiwa dalaman seseorang jika dibandingkan dengan mereka yang rajin beribadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI