PETALING JAYA – Sebuah syarikat produksi menafikan dakwaan seorang pempengaruh yang mendakwa kononnya akaun media sosialnya telah digodam sebaliknya mengatakan ia merupakan milik mutlak agensi produksi.
Pemilik akaun TikTok syarikat berkenaan, @ellysausm mendakwa pempengaruh terbabit telah melanggar kontrak.
“Dia (pempengaruh) telah membuat satu siaran langsung di akaun media sosial peribadinya dan mengaku kepada umum bahawa akaun TikToknya (yang sebenarnya milik syarikat) telah digodam.
“Susulan kandungan menerusi siaran langsung tersebut, akaun TikTok milik syarikat telah menerima kecaman dan komen negatif daripada netizen,” jelas pengarah syarikat tersebut menerusi laporan polis yang telah dibuatnya.
Tambahnya, semua kandungan yang terdapat dalam video berkenaan termasuk penyuntingan, slogan (tagline) ‘beep, beep’ dan sebagainya adalah direka oleh syarikat mereka.
“Segala kos perbelanjaan, termasuk makanan, minuman dan sewa kenderaan adalah juga dibayar oleh pihak syarikat,” jelasnya sambil menunjukkan senarai bil-bil perbelanjaan yang dilabur demi kandungan video tersebut yang tidak termasuk bayaran staf dan peralatan.
Menurut pengarah syarikat itu lagi, ‘influencer’ berkenaan mendakwa dia sedang mengandung dan tidak boleh makan dengan jumlah yang banyak serta salah seorang daripada anggota keluarganya menghidapi kanser dan perlu meluangkan masa untuk menjaganya.
“Saya benar-benar tidak memiliki masa, kerana saya sedang hamil. Saya perlu menjaga kandungan saya dan mengawal pemakanan saya,” kata pempengaruh tersebut menerusi pesanan audio di aplikasi Whatsapp yang dihantar kepada pihak syarikat.
Rentetan itu, pihak syarikat tidak bertindak memaksanya untuk membuat penggambaran dan pihak mereka terpaksa menangung sejumlah kerugian.
“Oleh kerana sifat kemanusiaan, kami pun tidak memaksanya untuk membuat pengambaran. Namun, kami kecewa apabila mendapat tahu, akaun peribadi TikTok miliknya sudah mulai mendapat klien pengiklanan serta mengenakan caj bayaran yang tinggi meskipun masih berada dalam kontrak dengan kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE