PETALING JAYA – Setelah kehilangan rumah pusaka keluarga berusia 53 tahun yang hanyut dalam kejadian banjir 18 Disember lalu, Rohana Mahfuz akhirnya dapat mendiami rumah baharu hasil sumbangan pendakwah bebas, Ebit Lew.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, Ebit sempat gambarnya bersama Rohana, 76, di hadapan rumah baharu terbabit.
“Ziarah Nenek Rohana yang rumahnya hanyut banjir cuma tinggal tangga di Hulu Langat. Kami bantu bina semula rumah baru. Hadiahkan rumah baru untuknya.
“Menangis nenek tadi ucap terima kasih dan memberi semangat baru untuknya. Beliau lemah masa tu dan tak kuat. Kini menangis terharu melihat kasih sayang Allah padanya.
“Bersungguh-sungguh ajak saya datang bawa keluarga mandi-mandi sungai di belakang rumahnya,” katanya dalam ciapan di laman Facebook.
Ebit juga turut berterima kasih kepada kontraktor, ASL Construction Malaysia yang menyiapkan rumah wanita tersebut serta Pertubuhan Kasih Umat Malaysia.
“Terima kasih semua adik beradik yang sangat baik, jiran tetangga dan masyarakat Malaysia yang baik. Syukur kita bersama dapat menggembirakan seorang wanita seperti mak kita.
“Ya Allah berilah kesihatan buat Nenek Rohana dan bahagiakan hatinya dan jagalah dirinya sentiasa. Terimalah sedikit usaha kami ini. Hanya RedhaMu yang kami harapkan,”
Terdahulu, Ebit menerusi kemas kini di Facebooknya mengesahkan, pihaknya akan mengeluarkan peruntukan bagi membina rumah buat warga emas tersebut pada Januari lalu. -KOSMO! ONLINE.