PETALING JAYA – Skuad Selangor mengakhiri kemarau 25 tahun selepas menjulang Piala Emas Raja-Raja edisi ke-100 dengan menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 3-2 di pentas final sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung Stadium MB Petaling Jaya itu, Selangor memulakan saingan dengan agresif apabila meraih gol pembukaan menerusi ledakan Muhammad Adim Muzahhir pada minit ke-3.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad The Cops memperkemaskan jentera serangan dan meraih gol penyamaan menerusi ledakan jarak jauh Mohamad Fakrullah pada minit ke-23.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Rohaizah Ribi berjaya menambah gol kedua di minit ke-59 hasil jaringan Muhammad Eskandar Ismail untuk letakkan PDRM selesa mendahului saingan.
Namun, Selangor yang dibimbing Shaiful Nizam Ab Khamis enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal dan dapat menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pemain gantian, Muhammad Amirul Haziq pada minit ke-73.
Kedua-dua pasukan berusaha untuk mencari gol kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan saingan terpaksa diheret ke masa tambahan.
Penyerang gantian skuad Merah Kuning, Nazrin Mohamad Nasir muncul wira dengan meledak gol di babak kedua masa tambahan sekaligus menghadiahkan kejuaraan buat Selangor.
Ini adalah kejuaraan pertama buat Selangor sejak edisi 1997 manakala PDRM terpaksa pulang hampa selepas tidak pernah menjuarai Piala Emas Raja-Raja sepanjang sejarah kejohanan. – KOSMO! ONLINE