fbpx

EPL: Manchester City tewas, gagal pintas Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kevin de Bruyne gagal membantu pasukan melakar kemenangan pada aksi bertemu Brentford sebentar tadi. - Foto ihsan Twitter Man. City

MANCHESTER – Hasrat pasukan Manchester City untuk merampas gelaran pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak kesampaian selepas tewas mengejut 1-2 kepada Brentford di Stadium Etihad sebentar tadi.

Skuad The Citizens kendalian Pep Guardiola membariskan kesebelasan terbaik termasuk penyerang sensasi, Erling Haaland dan perancang utama, Kevin de Bruyne serta Phil Foden untuk mengetuai jentera serangan.

Namun, pasukan pelawat terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah tetapi dua percubaan awal yang dilakukan oleh kapten pasukan, Ivan Toney berjaya ditepis oleh penjaga gol, Ederson.

Toney tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila rembatan yang dilakukan pada minit-16 berjaya menerjah jaring selepas memanfaatkan kealpaan pertahanan City.

Tersentak dengan gol tersebut, City memperkemaskan jentera serangan dan hampir dihadiahkan sepakan penalti sebanyak dua kali pada babak pertama tetapi dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

City akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan Phil Foden pada penghujung babak pertama selepas menerima hantaran Manuel Akanji.

Bersambung pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan dengan City meraih peluang awal menerusi percubaan Joao Cancelo dan Ilkay Gundogan.

Toney turut memiliki peluang untuk meletakkan The Bees dihadapan tetapi Ederson bertindak cemerlang untuk menafikan rembatan yang dilakukannya pada penghujung perlawanan.

Pertahanan tuan rumah akhirnya dibocori lagi selepas Toney bijak menyudahkan peluang terhidang pada masa kecederaan untuk menghadikan tiga mata berharga buat pasukan kendalian Thomas Frank itu dengan kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan tersebut menyaksikan City kekal di tangga kedua liga dengan 32 mata selepas mengharungi 14 perlawanan musim ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI