ANFIELD – Penjaga gol Stoke City, Jack Butland mungkin mampu menarik nafas lega apabila bakal menamatkan mimpi ngerinya bersama kelab itu selepas Liverpool dilaporkan menyatakan minat mendapatkan khidmatnya.
Butland yang menjadi penjaga gol paling muda yang menyertai skuad The Three Lion, namun berdepan masalah prestasi sehinggakan kehilangan tempat sebagai penjaga gawang No. 1 pasukan itu.
Dia terpaksa memanaskan bangku simpanan selepas Stoke tewas 0-5 kepada Leeds United pada Julai lalu dan tempatnya digantikan oleh Adam Davies menyebabkan Butland sedar dia perlu mencari angin baharu.
Berbaki 12 bulan kontrak dan menjadi antara penerima gaji paling tinggi di Stoke, mungkin sudah tiba masanya untuk Butland mendapatkan cabaran baharu selepas tujuh musim bersama pasukan itu.
Dalam pada itu, Liverpool pula dilaporkan terdesak untuk mendapatkan seorang lagi penjaga gol selepas mereka kehilangan Alisson untuk tempoh lebih sebulan setelah pemain berkenaan mengalami masalah kecederaan bahu.
Ketika ini, The Reds terpaksa bergantung harap kepada penjaga gol simpanan mereka, Adrian sebagai pilihan utama tetapi tujuh gol yang dilepaskan ketika menentang Aston Villa sebelum ini membuatkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sedar bahawa mereka perlu mendapatkan seorang lagi penjaga gawang sebagai pilihan dan memberikan saingan untuk merebut posisi berkenaan.
Ketika jendela perpindahan domestik yang masih dibuka sehingga Jumaat ini, Liverpool dikatakan akan mengemukakan tawaran kepada Stoke untuk menyelesaikan urusan perpindahan Butland dalam tempoh beberapa hari ini.
Sekiranya urusan berkenaan selesai, Butland dijangka membuat penampilan pertama bersama Liverpool ketika mereka berdepan aksi derbi setempat menentang Everton Sabtu ini. – AGENSI