fbpx

PRU15: Shahril Hamdan gemakan suara hati orang muda Alor Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahril Sufian menetapkan lima KPI yang akan mengutamakan generasi muda.

ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan mengutamakan kepentingan generasi muda dengan menetapkan lima petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia bagi membolehkan masyarakat terutama generasi muda menilai prestasinya sebagai wakil rakyat, jika mendapat mandat.

Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata, lima KPI tersebut pula boleh diukur dalam tempoh enam bulan, setahun, empat tahun dan lima tahun.

Katanya, semua KPI itu tertumpu kepada penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan gaji penduduk, infrastruktur, kualiti pendidikan serta aspek kebudayaan dan adat resam.

“Saya mencadangkan lima KPI terletak di bahu saya. Yang pertama mampukah dalam tempoh menjadi Ahli Parlimen kita menambah peluang pekerjaan. Kedua mampukah saya menjadi Ahli Parlimen, kita meningkatkan pendapatan purata penduduk Alor Gajah.

“Ketiga, mampukah kita naik taraf infrastruktur, KPI keempat mampukah saya perkasakan akses dan kualiti pendidikan dan kelima mampukah saya menaikkan martabat kebudayaan serta adat semua lapisan masyarakat di Alor Gajah,” katanya kepada pemberita selepas Program Suara Hati Orang Muda Alor Gajah di Rembia, di sini malam ini.

Pada PRU15, Shahril yang juga Ketua Penerangan UMNO ditentang tiga lawan iaitu penyandang kerusi daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof; calon Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Nazriq Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, beliau turut bercadang melaksanakan sesi dialog awam setiap dua atau tiga bulan selepas bergelar Ahli Parlimen Alor Gajah kelak.

Jelasnya, dalam sesi tersebut akan dibentangkan perkara yang berjaya atau gagal dilakukannya serta membolehkan masyarakat berdialog secara langsung.

“Saya rasa ini adalah satu pembaharuan yang perlu dilaksanakan sebagai calon muda dalam satu kepemimpinan, kalau saya diberi peluang menang PRU15 ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI