KEMAMAN – Seorang kanak-kanak lelaki, Mohamad Aiman Asyraf Shahrulzaman, 11, yang dikhuatiri lemas di Pantai Marina, di sini kelmarin sempat menyatakan hasrat mahu berjumpa rakan baiknya yang meninggal dunia baru-baru ini.
Ibu mangsa, Haslina Yusoff, 48, berkata, anak ketujuh daripada lapan beradik itu kerap meluahkan perasaan itu sejak akhir-akhir ini.
“Dia (Mohamad Aiman Asyraf) sering beritahu kawan-kawan amat rindukan arwah Azim, 15, dan mahu bertemu dengan rakan baiknya itu yang terkorban dalam kemalangan jalan raya kira-kira tiga bulan lalu.
“Saya juga perasan anak saya gemar mengaji al-Quran sejak seminggu lalu. Dia sering membuka video di YouTube dan mengaji bersama-sama walaupun berada di dalam kereta,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Pantai Marina, di sini semalam.
Terdahulu, Mohamad Aiman Asyraf yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai dikhuatiri lemas setelah dibawa arus deras ketika mandi di kawasan alur sungai berhampiran Pantai Marina pada pukul 3 petang kelmarin.
Haslina berkata, dia dan suami, Shahrul Zaman Saparuddin 51, yang berada di rumah hanya mengetahui kejadian itu pada pukul 5 petang.
“Pada pukul 12.30 tengah hari, dia (mangsa) minta izin mahu mandi hujan di depan rumah, tahu-tahu dia dan kawan-kawan sekolah sudah berbasikal ke pantai terletak kira-kira lima kilometer.
“Mulanya dua rakannya yang ikut mandi sungai terus pulang ke rumah dan mahu merahsiakan insiden berkenaan,” katanya.
Katanya, dia dan suami terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum hati mereka luluh apabila berjumpa dengan selipar dan basikal Mohamad Aiman Asyraf di gigi pantai.
Suri rumah itu berkata, dia tidak pulang ke rumah seharian dan menunggu di lokasi kejadian sejak kelmarin dan berharap bertemu anaknya segera walaupun sekadar jasad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlah berkata, operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak terbabit dilaksanakan dengan bantuan 50 anggota pelbagai agensi penyelamat.
Beliau berkata, operasi masih diteruskan secara teknik selaman dan pencarian di permukaan air di sekitar lokasi kejadian.
Setakat pukul 4 petang semalam, operasi mengesan mangsa masih giat dijalankan. -KOSMO! ONLINE