BERA – Industri e-Sukan yang dilihat mampu menjadi prospek terbaik pembangunan sukan negara semakin mendapat perhatian golongan muda.
Bukan sekadar dijadikan hobi, namun permainan e-Sukan itu juga mampu menjana pendapatan pemain sekiranya dilakukan secara serius.
Ujar Muhamad Afiq Roslan, 19, penglibatannya dalam bidang e-Sukan pada awalnya sekadar suka-suka, namun dia semakin fokus kepada sukan itu setelah percubaannya menyertai pertandingan membuahkan hasil.
“Banyak pertandingan yang saya telah sertai di Kuala Lumpur, Selangor malah di Johor juga. Cabaran memang sengit sebab semuanya berbakat.
“Bila menang kita akan rasa satu kepuasan sebagaimana kita menyertai aktiviti sukan yang lain. Yang membezakannya, melalui e-Sukan ini, saya mampu jana pendapatan sampingan,” katanya.
Katanya, biar pun hanya memperoleh ratusan ringgit, namun ia satu kepuasan bagi dirinya.
Justeru, dia berharap pertandingan seperti ini dapat diteruskan terutama di kawasan-kawasan luar bandar atau pinggir bandar supaya anak muda dapat merebut peluang yang ada.
“Kalau kita main secara sampingan pun boleh dapat beberapa ratus, bayangkan kalau kita serius atau fokus dalam e-Sukan. Tidak mustahil boleh jadi kerjaya kepada anak muda yang sememangnya berminat,” katanya.
Sementara itu, Nik Nur Atirah Nik Saimi, 18, yang hadir sebagai penyokong teruja dengan penganjuran Santai e-Games oleh Miat Quadra E-Sport Club di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini semalam.
Katanya, menerusi karnival itu, mereka berpeluang untuk bertemu dengan pasukan Haq Esports Club yang telah muncul sebagai juara perlawanan Liga Professional Legend (MPL) MY musim ke-10 baru-baru ini.
“Saya juga bermain permainan e-Sukan sejak beberapa tahun lalu, dan mendapat sokongan keluarga. Cuma kali ini saya hadir sebagai penyokong kepada rakan-rakan yang bertanding.
“Tidak dinafikan, e-Sukan ini dapat menjana pendapatan sampingan. Bagi anak muda yang masih mencari-cari kerjaya yang menjamin masa depan, e-Sukan adalah alternatif pada masa kini,” ujarnya.
Pada karnival itu, sebanyak 38 pasukan menyertai pertandingan permainan PUBG dan Mobile Legends dan mereka berpeluang untuk bertemu dengan pasukan Haq Esports Club yang telah muncul sebagai juara perlawanan Liga Professional Legend (MPL) MY musim ke-10 baru-baru ini.