ROM, ITALI – Kos import makanan global dijangka mencecah AS$2 trilion (RM9.2 trilion) tahun ini sekali gus diramal memberi tekanan kepada negara-negara miskin dengan unjuran ekonomi yang lemah serta ratio hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang tinggi, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Menurut laporan dikeluarkan Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO), harga makanan dunia melonjak ke tahap tertinggi pada Mac lalu selepas peperangan tercetus antara Russia dan Ukraine, yang merupakan antrara pengeluar bijirin terbesar dunia.
Meskipun terdapat Inisiatif Bijirin Laut Hitam yang dibroker oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula Julai lalu bagi memastikan penghantaran bijirin yang selamat di rantau bergolak itu, ia tidak dapat menurunkan harga makanan di pasaran antarabangsa.
“Ini merupakan isyarat berbahaya dari perspektif bekalan makanan,” kata FAO dalam laporan tinjauan makanan yang dikeluarkan dua tahun sekali.
Susulan itu, kos import makanan dunia disasar mencecah AS$1.94 trilion (RM8.97 trilion) tahun ini, meningkat 10 peratus berbanding tahun sebelumnya dan lebih lebih tinggi daripada yang diramal.
Laporan tersebut turut menekankan bahawa volum import makanan negara berpendapatan rendah turut menyusut sebanyak 10 peratus berikutan perbelanjaan import makanan mereka tahun ini kekal tidak berubah.
“Para pengimport mendapati agak sukar untuk membiayai kenaikan perbelanjaan antarabangsa, yang berpotensi menandakan pengakhiran daya ketahanan mereka terhadap harga global yang lebih tinggi,” jelas FAO.
Tambah agensi PBB itu, dari segi input pertanian seperti baja yang memerlukan banyak tenaga untuk dihasilkan, kos import global dijangka melonjak hampir 50 peratus tahun ini kepada AS$424 bilion (RM1.9 trilion) sekali gus menyebabkan sesetengah negara terpaksa membeli dan menggunakannya pada kadar lebih sedikit.
“Ini seterusnya membawa kepada produktiviti lebih rendah, ketersediaan makanan domestik lebih rendah dan kesan negatif terhadap pengeluaran pertanian global serta bekalan makanan pada 2023,” ujarnya. – Agensi